Ahad, 9 Jun 2019

Nik Nazmi sokong petisyen gesa Latheefa letak jawatan

MALAYSIAKINI

   
Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Nik Nazmi Nik Ahmad tetap menyeru orang ramai menandatangani petisyen menggesa Latheefa Koya meletakkan jawatan sebagai ketua pesuruhjaya SPRM meskipun Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam berkata pelantikan itu muktamad.

"Pakatan Harapan telah beri komitmen untuk pelantikan Pesuruhjaya SPRM disahkan oleh Jawatankuasa Khas Pemilihan Parlimen.

"Mari kita sama-sama tandatangan petisyen ini agar komitmen ini dipenuhi.

"Isu ini lebih besar daripada Latheefa tetapi tekad reformasi yang kita janjikan kepada rakyat," kata Nik Nazmi yang juga merupakan ahli parlimen Setiawangsa.

Selain Nik Nazmi, Ahli Parlimen Wangsa Maju Dr Tan Yee Kew sebelum ini turut menandatangani petisyen sama.

Setakat 12.17 tengah hari ketika berita ini ditulis, petisyen berkenaan mencecah 5,580 penandatangan.

Sementara itu, setakat berita ini ditulis, petisyen berasingan yang menyokong pelantikan Latheefa,  mendapat jumlah tandatangan yang lebih banyak iaitu 10,887.

Pengkritik pelantikan Latheefa rata-rata bersetuju perwatakan tegas peguam itu sesuai bagi menggalas tugas berkenaan, namun mempersoalkan latar belakang beliau sebagai bekas ahli PKR yang pernah memegang jawatan dalam parti.

Selain itu, pengkritik juga mempersoalkan cara pemilihan Latheefa yang dibuat oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tanpa berbincang dengan kabinet atau melalui Jawatankuasa Khas Pemilihan Parlimen bagi Pelantikan Jawatan Awam Utama.

Nik Nazmi sebelum ini menyifatkan cara pelantikan Latheefa sebagai ketua pesuruhjaya SPRM tidak selari dengan janji yang dibuat PH dalam manifesto pilihan raya untuk memastikan SPRM melapor terus kepada parlimen dan bukan lagi kepada perdana menteri.

Dr Mahathir semalam berkata pelantikan Latheefa adalah muktamad.

Bagaimanapun, pengerusi PH itu berkata, Presiden PKR Anwar Ibrahim - yang meminta beliau menjawab kritikan berhubung pelantikan berkenaan - berhak mendapatkan penjelasan.

Latheefa dilantik bagi jawatan itu berkuat kuasa 1 Jun lalu bagi kontrak selama dua tahun.

Pelantikan itu dibuat selepas penyandang jawatan itu sebelum ini, Mohd Shukri Abdull memohon perkhidmatannya dipendekkan.

LIHAT FB DI SINI


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.