DIALOG RAKYAT

MELAPORKAN BERITA-BERITA PELBAGAI TOPIK SEMASA...

Isnin, 10 Jun 2019

Nga cadang pinda akta SPRM berkait pelantikan ketua pesuruhjaya

Bernama
Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming.
TELUK INTAN: Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming mencadangkan supaya Seksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dipinda bagi menambah baik prosedur pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM pada masa akan datang.

Ketika mencadangkan agar pindaan itu dibuat pada sidang Dewan Rakyat akan datang, Nga berkata, ketika ini seksyen berkenaan memperuntukkan kuasa kepada perdana menteri untuk melantik mana-mana individu menerajui agensi penguatkuasaan itu.

“Pindaan itu perlu memasukkan klausa supaya sebelum pelantikan dibuat (individu yang dilantik) perlu dirujuk terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk Pelantikan Jawatan Awam Utama.

“Oleh itu, proses pelantikan pada masa akan datang ialah (nama) individu yang dicadangkan oleh perdana menteri, diserahkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk diperhalusi latar belakangnya kemudian perdana menteri membuat penilaian terakhir sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk lantikan,” katanya.

Nga yang juga ahli Parlimen Teluk Intan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Kesatuan Pembantu Tadbir (Pendidikan) Semenanjung Malaysia cawangan Hilir Perak kali ke-21 di sini, hari ini.

Pada 4 Jun lalu, Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan mengumumkan pelantikan peguam Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM berkuat kuasa 1 Jun.

Latheefa mengambil alih daripada Mohd Shukri Abdull yang memohon untuk memendekkan kontrak perkhidmatan yang sepatutnya berakhir pada 17 Mei tahun depan.

ELBI RISALAH di 6/10/2019 08:30:00 PTG
Kongsi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

‹
›
Laman utama
Papar versi web
Dikuasakan oleh Blogger.