Ahad, 2 Jun 2019

Muafakat Umno, PAS penuh keberkatan, jadi...

MALAYSIAKINI

   

Walaupun muafakat yang dijalinkan PAS bersama Umno didakwa mendapat penuh keberkatan, anggota Jawatankuasa Pusat PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, memberi ingatan ia bukan tiket untuk parti itu bermain dengan sentimen perkauman.

Kata Nik Abduh, Islam menolak perkauman dan fahaman asobiyah dan hubungan parti terbabit tidak wajar dirosakkan oleh pendekatan tersebut.

Malah anggota parlimen Bachok itu mengingatkan bahawa fahaman tersebut sudah dibuang oleh Islam sebelum ini.

"Jangan rosakkan muafakat yang mulia ini dengan bangkai jahiliyah yang dibuang oleh agama Islam yang suci," katanya di Facebook, semalam.

Nik Abduh berkata demikian sebagai mengulas hubungan PAS dan Umno yang kini dalam peringkat akhir untuk dimeterai secara rasmi.

Sebelum ini media melaporkan kedua-dua parti bersetuju menerima piagam bersama bagi membentuk gabungan Muafakat Perpaduan Ummah untuk menghadapi PH.

Pengumuman mengenai piagam tersebut dijangka akan dibuat selepas Aidilfitri ini.




Nik Abduh berkata, Umno dan PAS mestilah sentiasa berjaga-jaga sejak awal agar terhindar daripada agenda musuh yang sengaja mencucuk "jarum perkauman".

Katanya, ia seterusnya akan merencatkan keyakinan rakyat terhadap muafakat diusahakan pembangkang dalam usaha mereka menuju Putrajaya.

"PAS terus mara dengan gagasan Islam yang sempurna untuk sebuah negara sejahtera," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.