Semua sekolah itu dalam jajaran arah angin 6km dari Sekolah Agama Taman Mawar, sekolah pertama terjejas dalam insiden sesak nafas membabitkan berpuluh muridnya pada Khamis lalu.
Penutupan itu menjadikan jumlah sekolah yang ditutup sebanyak 17, termasuk 3 yang diarahkan berbuat demikian semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata penutupan 4 hari sehingga Khamis itu membabitkan Sekolah Kebangsaan Bukit Dahlia, SK Taman Cahaya Masai, SK Felda Cahaya Baru, SK Kong Kong Laut, SK Taman Nusa Damai, SK Kopok dan SK Kota Masai 3, SK Taman Cendana, Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Nusa Damai, SMK Pasir Gudang, SMK Kota Masai dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Pasir Gudang, SK Taman Scientex dan SMK Taman Scientex.
“Turut terlibat sama adalah institusi pengajian awam, sekolah agama kerajaan Johor, semua prasekolah dan tadika,” katanya dalam sidang media hari ini.
Khuzzan berkata, keputusan menutup sekolah membabitkan 20,108 murid itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga selepas kes sesak nafas dan muntah dilaporkan di kawasan itu 11 pagi tadi.
Katanya, dalam kejadian terbaru, Jabatan Bomba dan Penyelamat bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan dan membuat saringan ke atas pelajar yang dikesan mengalami gejala sesak nafas dan mual.
“Sehingga 3.30 petang, 13 mangsa dirujuk ke Hospital Sultan Ismail dan dalam keadaan stabil, 49 lagi menerima rawatan di klinik sementara di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang dan Klinik Kesihatan Pasir Gudang.”
Katanya, sehingga kini, Jabatan Alam Sekitar bersama agensi lain sedang berusaha mengenal pasti punca sebenar kejadian itu.
“Kita ke arah fokus (skop siasatan) lebih kecil lagi sekarang untuk melihat puncanya, jadi Insya Allah nanti bila kita ketemu, kita akan maklumkan.
“Lagipun, ujian darah mangsa setakat ini menunjukkan semuanya negatif. Normal saja, tak tunjuk kesan toksik.”
Khuzzan berkata, pihaknya mendapati kebanyakan pelajar terjejas adalah mereka yang berada di tingkat 3 dan 4 sekolah, termasuk dalam kes Khamis lepas.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.