Mohd Sabran Md Sani
JABATAN Pendidikan Negeri (JPN) Johor mengesahkan video tular menunjukkan seorang wanita berang selepas anaknya didakwa dirotan pada lengan dan paha selepas memanggil guru lelakinya pondan, berlaku di sebuah sekolah menengah kebangsaan (SMK) di Johor Bahru.
Pengarahnya Azman Adnan berkata, kejadian itu masih dalam siasatan pihak berkuasa.
“Ya (benar) kes dilaporkan di sebuah sekolah di Johor Bahru.
“Ulasan saya setakat pagi ini ia masih dalam siasatan polis kerana murid dan penjaga sudah membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi bagi mendapatkan pengesahan kejadian itu.
Menerusi video berdurasi kira-kira dua minit dan 28 saat itu, seorang wanita dilihat mempersoalkan tindakan guru lelaki selepas didakwa merotan anak perempuannya yang juga pelajar di sebuah sekolah menengah.
Guru berkenaan dilihat memberi penjelasan mengenai tindakannya merotan pelajar terbabit, namun dipertikaikan ibu berkenaan sambil menunjukkan kesan birat pada tubuh anaknya.
“(You) kamu ingat, cikgu besar jangan cakap macam ini. You (kamu) rotan macam ini tengok rotan macam ni eh (sambil menunjukkan kesan birat pada lengan pelajar).
“Tengok dia tangan. You (kamu) rotan sampai macam ini. You (kamu) ini cikgu ah, tak boleh macam ini buat tau. You (kamu) memang salah.
“Dia cakap sama you (kamu) saja ma. Cakap ma. Dia ada pukul you (kamu) tak. Dah cakap sama you sorry, kenapa kamu nak... Kalau dia ada pukul you (kamu), kamu pukul dia tak apa. Jangan macam ini,” kata wanita itu ketika merakamkan video berkenaan.
Wanita itu turut mempertikaikan tindakan guru terbabit memukul anaknya yang didakwa pada bahagian lengan dan paha kerana geram.
Katanya, sebagai pendidik guru terbabit seharusnya mengajar pelajar.
Guru lelaki itu kemudian bertanya kepada wanina itu sama ada sudah bertanya kepada anak perempuannya mengenai perkataan dilemparkan kepadanya.
Wanita itu kemudian membalas ‘tahu’ iaitu ‘aqua’ (pondan dalam bahasa Mandarin), namun menjelaskan anaknya sudah memohon maaf.
Bagaimanapun, guru lelaki berkenaan memberitahu pelajar itu hanya memohon maaf selepas dipukul, dipercayai selepas disarankan oleh rakan sekolahnya.
Guru itu mendakwa, tindakan pelajar itu menyebut perkataan pondan secara bersemuka adalah tindakan tidak wajar.
Ibu kepada pelajar perempuan itu kemudian bersemuka dengan seorang lagi guru perempuan berhubung kejadian berkenaan.
Video itu mendapat pelbagai reaksi netizen di laman sosial dengan ada yang mempertikaikan cara merotan hingga meninggalkan lebam.
Tidak kurang pula yang berkongsi cabaran mendidik pelajar kini semakin sukar, selain pentingnya menghormati guru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.