Isnin, 24 Jun 2019

Jangan terus tunduk kepada ultra kiasu. Bangun Malaysia

PROF DR RIDHUAN TEE ABDULLH


Singapura tiba-tiba sokong pelan laluan jalan kaki Tambak Johor



LIHATLAH! Bijak ultra kiasu berstrategi. Apabila timbul sahaja idea mahu memperkemas dan memperkukuhkan lagi Tambak Johor oleh negara kita, maka negara ultra kiasu Singapura terus bersetuju dengan cadangan pembinaan laluan pejalan kaki (termasuk motosikal).

Jika ini dilakukan, bermakna Tambak Johor akan terus kekal sampai bila-bila – sampai kiamat. Sudah tentu ia tidak menguntung kita, tetapi, keuntungan paling besar kepada Singapura.

Sejak dahulu lagi negara ultra kiasu mahukan Tambak Johor kekal di situ dan tidak boleh ada yang menggantikan jambatan itu.

Tambak Johor sangat menguntungkan negara ultra kiasu dan amat merugikan Malaysia. Sebab itu, idea jambatan bengkok menggantikan Tambak Johor yang pernah dicadangkan dan dikemukakan oleh Tun Dr Mahahtir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri ke 4 ditentang habis-habisan oleh negara ultra kiasu itu.

Lebih menyedihkan lagi, pembinaan jambatan bengkok terbantut dan dibatalkan ketika zaman Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) menjadi PM.

Saya masih ingat ucapan tegas negarawan kita sekarang, ketika menjadi PM ke-4 mengenai idea pembinaan jambatan bengkok menggantikan Tambak Johor, jika negara Singapura tidak setuju, kita akan terus bina sehingga sampai ke kawasan perairan kita, kemudian disambung dengan Tambak Johor sebelah Singapura.

Logiknya mudah, ini kerana apabila dibuka sahaja Tambak Johor dengan jambatan baharu (jambatan bengkok) yang membolehkan kapal melalui di bawahnya, sudah tentu ia menguntung Malaysia dan menjejaskan industri pelabuhan negara ultra kiasu itu.

Pelabuhan kita di Tanjung Pelepas akan menjadi saingan besar kepada Singapura. Sekarang ini, kapal yang hendak ke Tanjung Pelepas terpaksa berpusing jauh. Sebaliknya, ia menjadi dekat jika Tambak Johor digantikan dengan jambatan yang memboleh kapal melalui di bawahnya.

Jika kapal dari Selat Melaka hendak ke Tanjung Pelepas, mungkin dekat. Hanya masuk melalui Selat Johor. Tetapi, bagaimana jika kapal yang datang dari arah Laut China Selatan atau Teluk Siam? Memang tidak boleh melalui Selat Johor kerana disekat oleh Tambak Johor.

Apakah kita tidak sedari akibat kewujudan Tambak Johor, yang berada di situ yang menjadikan kita sentiasa berada di pihak yang rugi. Ini tidak termasuk isu pencemaran, soal air laut yang terpendam dan tidak dapat mengalir seperti sedia kala jika laluan itu diperbesarkan dan dibuka.

Kenapa ktia tidak dapat melihat perkara ini dengan lebih terperinci dan berstrategi. Sampai bila kita mahu terus mengalah kepada Singapura, sedangkan negara itu langsung tidak mahu bertolak ansur dalam setiap perkara yang ‘merugikan’ mereka.

Sudahlah perjanjian air langsung tidak boleh disentuh. Kita terpaksa menjual air mentah kepada negara ultra kiasu itu sehingga tahun 2061 dengan harga 0.03 sen per 1,000 gelen. Apabila ada idea menaikkan harga air mentah kepada kadar yang lebih logik, seperti ketegasan PM hari ini, yang tetap mahukan harga air dikaji semula, maka negara ultra kiasu itu akan menentang.

Saya masih ingat ketika zaman Pak Lah menjadi PM, cadangan menaikkan harga dikemukakan lagi, ketika itu respon pemimpin ultra kiasu yang telah meninggal dunia dengan tegas menjawab. Jawapannya adalah PERANG. Begitulah kurang ajarnya ultra kiasu.

Air, air kita, dek kerana perjanjian itu, solah-olah air bapak dia. Sudahlah kolam tadahan di Johor, dikawal sepenuhnya oleh tentera Singapura. Kita dalam negara sendiri pun tidak dibenarkan masuk ke kolam tadahan berkenaan.

Ini tidak termasuk lagi kekalahan kita di mahkamah antarabangsa berhubung isu Pulau Batu Putih. Nasib belum tentu menyebelahi kita dalam soal isu Pulau Pisang.

Justeru, Tambak Johor mesti diganti dengan jambatan baharu seperti idea asal PM sekarang ini. Kita perlu bersaing secara sihat dengan negara ultra kiasu ini. Negara ultra kiasu ini tidak boleh dibiarkan dengan keultrakiasuannya.

 Ingatlah wahai pemimpin negaraku. Saya teringat kepada pesanan pensyarah strategi dan keselamatan saya, ketika melanjutkan pelajaran dalam bidang pengajian keselamatan dan strategi, mendiang Prof Dr Chandran Jushurun.

Kata beliau, negara ultra kiasu ini ibarat mendapat sebiji kek. Dia (Singapura) tidak akan kongsi kek itu dengan orang lain (Malaysia). Dia mahu makan seorang sehingga habis, baru dia rasa puas, meskipun Singapura adalah hak Malaysia dari segi sejarah asal usulnya.

Disebabkan ‘kesilapan’ kita, ia telah terlepas menjadi sebuah negara ultra kiasu. Pesanan akhir mendiang Prof Chandran yang sempat saya belajar daripadanya.

Itulah istilah ultra kiasu yang saya berikan nama sebelum ini sehingga kini, termasuk sekutunya di dalam negara kita, yang sangat bahaya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.