PUTRAJAYA: Tiada keperluan bawa isu video intim yang terkait dengan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ke mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).
Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata perkara berkenaan akan diselesaikan secara dalaman oleh parti berkenaan.
Dr Wan Azizah yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata buat masa ini perkara itu masih di peringkat penyelesaian dan akan dilakukan secara berperingkat.
"Ia tidak dibawa dalam perbincangan Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad juga sudah menjawab, buat masa ini ia akan diselesaikan," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata isu video berkenaan juga tidak dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini.
“Kenapa nak bincang, ia tiada dalam agenda,” katanya yang ditemui selepas Program Bicara Ilmu Sri Satria di Putrajaya pada Khamis.
Sebelum itu, Dr Wan Azizah dalam ucapannya beliau mengulas mengenai persidangan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dihadirinya di Arab Saudi, baru-baru ini.
Katanya, ia sepatutnya digunakan secara lebih telus dalam usaha untuk membantu negara Islam miskin seperti Afrika.
“Saya fikir apakah ini menjadi wadah untuk kita membantu umat Islam, kita laungkan bebas Palestin, negara Arab yang kaya dengan minyak tetapi bagaimana kita menangani masalah kemiskinan negara Islam di Afrika,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.