Ahad, 23 Jun 2019

Haziq gila glamor, kata penasihat Azmin



SAYA membaca kenyataan Samsul Iskandar Mohd Akin yang antara lain menyebut Haziq Abdul Aziz pernah menjadi intern Azmin Ali ketika beliau menteri besar Selangor.

Ini fakta yang salah. Haziq tidak pernah menjadi intern kepada Azmin.

Saya sebagai ketua pegawai strategi dan penyelidikan Pejabat MB ketika itu mencadangkan kepada Azmin supaya mengambil Haziq sebagai intern untuk memberi pendedahan kepada seorang anak muda untuk menimba pengalaman.

Haziq ketika itu kelihatan berpotensi dan dia adalah seorang alumnus Sekolah Politik Institut Kajian Dasar.

Cadangan saya ditolak oleh Azmin. Untuk menjaga hati Haziq saya mencadangkan kepada anak muda tersebut untuk menjadi intern di Pejabat Menteri Besar di bawah pegawasan saya di Tingkat 20 dan tidak sebagai intern MB.

Haziq menolak pelawaan saya. Saya dimaklumkan penolakan Azmin menyebabkan Haziq amat kecewa dan marah dengannya.

Beliau kelihatan menyeberang sempadan politik dengan memaparkan gambar-gambar bersama tokoh-tokoh BN seperti ketua menteri Sarawak, menteri-menteri kabinet seperti Nancy Shukri di laman media sosialnya.

Ketika itu saya mula berpendapat Haziq lebih merupakan anak muda glamour freak. Bila PRU14 hampir Haziq menjadi mata tombak propaganda BN kepada anak muda berdasarkan pengalaman beliau sebagai aktivis mahasiswa dan jaringan Sekolah Politik IKD.

Bahkan beliau berani menghantar klip video kempen Khairy Jamaluddin ke dalam kumpulan WhatsApp yang saya sendiri asaskan. Lantas saya menyingkirkan beliau dari group tersebut.

Sehingga sekarang peristiwa tersebut menjadi lelucon di kalangan jaringan intelektual muda Jalan Telawi. Kesediaan Haziq menggadaikan maruah dirinya kepada komplot politik kotor memberikan kesedaran pada diri saya sendiri.

Hampir 20 tahun saya memimpin IKD, menjalan program untuk menyemai semangat pencerahan di kalangan anak muda yang mahu terjun ke dunia politik.

Ini kami lakukan melalui Sekolah Politik dengan kerjasama Konrad Adenauer Stiftung (Jerman) dan projek Asian Renaissance dengan kerjasama Sasakawa Peace Foundation (Jepun).

Dari kedua-dua inisiatif ini IKD telah melahirkan menteri, menteri besar, timbalan menteri, exco Kerajaan Negeri, ahli Parlimen dan Adun.

Selalu kita temukan dalam sebuah keluarga besar yang terkenal dan berjaya ada black sheep.

Dalam alumni IKD, Haziq adalah black sheep. Penularan pengakuan jijik Haziq menyebabkan ramai berasa mual dengan politik.

Nanti dulu.

Kalau orang mual dengan Kuala Lumpur kerana banyak sampah. Langkah yang perlu dilakukan untuk memulihkan imej KL adalah mengambil tindakan keras terhadap mereka yang membuang sampah.

Maka tidak cukup menyatakan kebencian terhadap politik jijik ini.

Mereka yang membuat kerja jijik ini perlu dikenakan tindakan keras. Sekarang kita sampai kepada inti persoalan. Kenapa tidak ada tindakan dari PKR terhadap Haziq yang membuat pengakuan yang menjijikan.

Haziq bukan membuat pengakuan sebagai mangsa. Beliau dengan bangga membuat pengakuan melakukan seks luar tabi’i. Bukan sahaja apa yang beliau lakukan dilihat amat jijik oleh masyarakat Melayu dan Islam. Perbuatan itu juga satu jenayah.

Ketiadaan tindakan dari PKR kepada ketua Pemuda cabang Santubong itu akan mencemarkan nama PKR di mata orang Melayu dan Islam.

Kealpaan ini akan dilihat sebagai kegagalan kepemimpinan dalam PKR, khususnya presiden. –

*Khalid Jaafar adalah penasihat Azmin Ali. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.