UMNO wajar serah balik peruntukan jika daripada sumber salah
ALOR SETAR– Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, beliau
tidak mengetahui mengenai dana yang dikaitkan dengan 1Malaysia
Development Bhd (1MDB) disalurkan kepada UMNO Kedah ketika memegang
jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, sebelum ini.
Katanya,
segala urusan berkaitan dana parti diserahkan sepenuhnya kepada
Bendahari UMNO negeri pada ketika itu iaitu Datuk Seri Abdul Azeez Abdul
Rahim, yang turut menguruskan perbelanjaan dan agihan kepada setiap
UMNO bahagian di negeri ini.
“Waktu
saya jadi Pengerusi UMNO negeri, memang ada keperluan perbelanjaan untuk
setiap bahagian tetapi saya serah kepada bendahari. Saya tidak tahu apa
kaedah yang dia (bendahari) gunakan tetapi peruntukan yang diperoleh
itu adalah untuk menggerakkan aktiviti di setiap bahagian.
“Selepas
itu (peruntukan diperoleh), apa yang berlaku saya tidak tahu tetapi ia
langsung tidak libatkan sebarang projek, kontrak atau benda-benda lain,”
katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Belia Negara Peringkat
Negeri Kedah di sini, hari ini.
Beliau
berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfailkan permohonan perlucuthakan
sivil terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270
juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.
Dalam satu
kenyataan semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata,
tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan
Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) di mana suruhanjaya itu percaya
wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas perdana menteri
Datuk Seri Najib Razak.
Kesemua 41
individu dan entiti terbabit termasuk parti politik, yayasan dan
syarikat, termasuk bahagian UMNO, Parti Rakyat Bersatu Sabah, MCA serta
Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida).
Mengulas
lanjut, Mukhriz yang kini Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu
Malaysia (Bersatu) berkata, jika dana diperoleh oleh UMNO daripada
sumber yang salah, maka parti itu harus memulangkannya semula.
Mukhriz
memegang jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri pada
Ogos 2013 dan melepaskan jawatan itu pada Februari 2016 selepas meletak
jawatan sebagai menteri besar, susulan majoriti Anggota Dewan Undangan
Negeri Kedah memutuskan hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya. –
Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.