KUALA LUMPUR: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menahan 9 warga asing dan 2 warga tempatan kerana menceroboh Taman Negara dan menyimpan pelbagai bahagian hidupan liar sepanjang bulan lepas.
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar berkata, tangkapan dilakukan di beberapa lokasi seluruh negara iaitu di Taman Negara Terengganu (3 tangkapan); Hutan Simpan Sungai Yu, Pahang (4 tangkapan); Ladang Kim Sam, Gua Musang, Kelantan (2 tangkapan) dan Hutan Simpan Lesong, Rompin, Pahang (2 tangkapan warga tempatan).
Katanya, kesemua mereka disiasat kerana memburu dan menyimpan pelbagai bahagian hidupan liar tanpa kebenaran Perhilitan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
“Perhilitan akan menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap semua barang kes yang disita untuk mengesahkan spesies hidupan liar yang terlibat. Ujian forensik ini akan dijalankan di Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan milik Perhilitan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Mengulas mengenai tangkapan di Taman Negara Terengganu pada 29 Mei lalu, Xavier berkata, 3 individu warga Kemboja ditahan dan beberapa bahagian hidupan liar serta hasil hutan disita.
Antara yang disita termasuklah 105 unit sisik tenggiling, 9 bungkus daging yang disyaki hidupan liar, sepasang rahang hidupan liar, 3 unit taring hidupan liar, 4 unit duri landak, selain pelbagai peralatan untuk memburu.
Xavier berkata, kementeriannya memandang serius usaha memastikan hidupan liar, terutamanya Harimau Malaya terpelihara dan tidak mengalami kepupusan.
Menurutnya, pada masa ini hanya terdapat kurang daripada 200 ekor Harimau Malaya di hutan seluruh Semenanjung Malaysia.
“Tindakan penceroboh dan penjenayah hidupan liar merupakan tindakan tidak berperikemanusiaan … kementerian amat serius berkaitan perkara ini dan akan mempertingkatkan operasi memburu serta menangkap penceroboh dan penjenayah hidupan liar.
Kementerian juga memberikan amaran keras kepada semua pihak agar mematuhi undang-undang,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.