Khamis, 30 Mei 2019

Zakat: Dari Islam, untuk Islam dan diuruskan Islam, kata PAS

MALAYSIAKINI

   

Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi hari ini meminta pemimpin politik bukan Islam agar tidak mengambil kesempatan terhadap pemberian zakat terhadap orang Islam.

Katanya, tindakan itu sebagai sesuatu yang tidak wajar dan belum pernah berlaku di negara ini.

“Dalam isu zakat, proses wajib yang lazimnya adalah ia diambil dari orang Islam, untuk orang Islam dan di uruskan oleh orang Islam.

“Namun, apabila tularnya di media sosial mengenai Adun Pulau Tikus , Chris Lee Chun Kit mengedarkan kit bantuan zakat kepada penerima zakat, saya merasakan ia sangat tidak wajar dilakukan malah belum pernah berlaku sebelum ini di dalam negara.

“Isu zakat cukup sensitif di kalangan orang Islam dan adalah sangat wajar orang Islam yang menguruskannya,” katanya di Facebook.

Khalil merujuk kepada hantaran Facebook Chris Lee pada 26 Mei yang memaparkannya menyerahkan bantuan zakat kepada penduduk di MPKK Kampung Heriot dan MPKK Bangkok Lane di DUN Pulau Tikus.
Hantaran itu menerima kritikan daripada beberapa pihak termasuklah presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang mempersoalkan tindakan Chris.

Bagaimanapun, Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang Zairil Khir Johari mempertahankan Lee bersandarkan pandangan Mufti Pulau Pinang Dr Wan Salim Wan Mohd Noor bahawa harus untuk orang bukan Islam diwakilkan untuk menerima atau mengagihkan zakat.

Mengulas lanjut, Khalil bekata, dia difahamkan perkara sama turut dilakukan oleh beberapa lagi wakil rakyat bukan beragama Islam di Pulau Pinang.

Dakwanya, amalan itu tidak seharusnya berlaku dan wajib ditegur serta dipantau agar tidak menimbulkan prasangka buruk dan mendatangkan fitnah yang boleh meresahkan umat Islam.

Sehubungan itu, Khalil menyarankan agar wakil rakyat bukan Islam menyerahkan perkara berkaitan zakat kepada pegawai-pegawai mereka yang beragama Islam untuk memudahkan proses tersebut dan mengelak menimbulkan syak wasangka serta fitnah.

“Perkara sebegini harus dipantau oleh pihak berwajib agar ia tidak berulang lagi.

“Saya menyeru kepada umat Islam di dalam negara agar sama–sama menghayati Ramadan dan menjaga agama Islam agar tiada yang mengambil kesempatan ke atasnya di bulan yang mulia ini.

“Islam wajar dipelihara kesuciannya agar tidak di perkotak–katikkan dan diambil kesempatan ke atasnya. Jika kita sebagai umat Islam tidak menjaga dan memelihara kesuciannya, siapa lagi yang kita mahu harapkan?” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.