Rabu, 29 Mei 2019

Timbalan menteri pelancongan jahil murrakab, kata Muafakat

fazleen safina 

Bebas bersuara bukan menghina, Bakthiar kena bersyahadah semula

BANGI – Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Timbalan Menteri Pelancongan, Muhammad Bakthiar Wan Chik yang telah memuat naik status Facebook mempersenda kesucian Islam dalam bulan mulia ini.

Status yang dimuat naik Muhammad Bakthiar pada 10.33 malam tadi, dan diedit sembilan jam kemudiannya berbunyi:

“Jom tido awal, esok awal pagi kita ke masjid mengejar Lailatulqadar. Tadi dah Lailatulkamdar.”

Ketua Media Muafakat, Haji Rashidi Haris yang menyifatkan tindakan itu sebagai jahil murrakab berkata, perkara itu tidak patut dilakukan seorang Islam, tambahan pula beliau seorang yang berpangkat ‘timbalan menteri’.

“Sekalipun dalam piagam Islam Liberal yang meletakkan ‘kebebasan’ itu adalah keutamaan, daripada seorang itu terikat dengan hukum hakam, namun menjadikan malam yang Allah SWT letakkan kedudukannya sebagai malam paling mulia dan istimewa, adalah suatu perbuatan melampau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jahil murakkab adalah: “Suatu ibarat yang diletakkan kepada seseorang yang kita tidak selamat dari kejahilannya (iaitu kejahilannya memberi mudarat kepada orang lain)” – Al-Mu’jam Al-Wasith.

Di sisi Ibn Al-Qayyim pula jahil murakkab adalah kejahilan tokoh-tokoh pegangan yang bathil. – Badai’ Al-Fawaid, Ibn Al-Qayyim (4/209).

Jahil murakkab adalah suatu sifat yang tercela. Ini kerana, bukan sekadar dirinya jahil bahkan dia mempertahankan kebatilan itu dengan menganggap ia sebagai suatu kebenaran. Justeru, kemudaratan darinya lebih banyak dan berganda terhadap orang lain. – Irsyad Usul Al-Fiqh Siri Ke-35: Definisi Jahil dan Pembahagiannya (Mufti Wilayah Persekutuan).

Justeru, Muafakat menggesa Muhammad Bakthiar agar segera bertaubat dan memohon maaf secara terbuka, sama seperti yang beliau tanpa segan silu mempersenda agama Islam secara terang-terangan.

Dalam kenyataan sama, Muafakat turut mendesak beliau untuk segera bersyahadah mengucap dua kalimah syahadah, serta tidak mempersenda ayat-ayat al-Quran.

“Dalam kaedah fiqah, bergurau senda terhadap ayat-ayat yang terdapat di dalam al-Quran adalah dilarang dan hukumnya haram lagi berdosa besar.

“Jika beliau seorang berilmu dan sengaja mempersendakan ayat al-Quran dengan tujuan membuat orang lain ketawa, perbuatan ini boleh menyebabkan gugur iman,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.