“SAYA harap dua anak lelaki saya akan menyambung legasi arwah.
“Kedua-dua mereka kini sedang belajar hafazan al-Quran di Maahad Tahfiz Imam Nawawi, Perlis,” kata anak sulung pendakwah, Datuk Seri Abu Hassan Din al-Hafiz, Mohammad Yusri Abu Hassan, 45.
Menurutnya, arwah bapanya tidak menunjukkan sebarang perubahan malah melakukan rutin dakwahnya seperti biasa malam tadi.
“Malam tadi, dia berceramah di Seremban. Bapa pergi bersama ibu, Rosbi Shabuddin, 66, sebelum kembali ke rumah,” katanya.
Katanya, selepas menunaikan solat Subuh bapa bersiap untuk ke Perak.
“Ketika pakai seluar arwah terjatuh sebelum ibu kejutkan dua adik perempuan.
“Adik kemudian hubungi ambulans sebelum bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dilakukan.
Walaupun doktor cakap sudah tiada denyutan nadi tetapi bapa dibawa ke Unit Rawatan Rapi Hospital Kuala Lumpur.
“CPR disambung selama sejam di sana sebelum doktor mengesahkan bapa sudah meninggal. Jenazah kemudian dibawa pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Batu Muda, hari ini.
Yusri berkata, mulanya jenazah akan dikebumikan selepas solat Zohor namun atas permintaan keluarga ditunda selepas Asar.
“Keluarga dari Perlis minta untuk tunggu mereka. Jadi, pada jam 2.30 petang, arwah akan dimandikan sebelum disolatkan di Masjid Saidina Hamzah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudatul Sakinah Taman Selasih,” katanya.
Katanya, arwah selalu berpesan kepada ahli keluarga supaya berbakti kepada ibu bapa selain tidak meninggalkan solat.
“Sebagaimana orang luar kenalinya sebagai seorang yang suka berjenaka, bapa juga mempraktikkan kaedah sama dengan seluruh ahli keluarga,” katanya.
Arwah meninggalkan seorang balu, tujuh anak dan 13 cucu.
Berita berkaitan
• Abu Hassan Din meninggal dunia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.