Sabtu, 25 Mei 2019

Polis tumpu enam kesalahan utama dalam Op Selamat raya

ISMA WEB


Patuhi lampu isyarat, jangan memandu di lorong kecemasan, garisan berkembar, guna telefon bimbit, memotong barisan, elak pandu laju


KUALA LUMPUR – Memandu di lorong kecemasan adalah antara enam kesalahan utama yang diberi tumpuan pada Op Selamat 15/2019 sempena Hari Raya Aidilfitri bermula Rabu ini hingga 12 Jun.

Lima lagi kesalahan ialah memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit, memotong barisan, memandu laju dan tidak mematuhi lampu isyarat.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, polis tidak akan berkompromi dengan pengguna jalan raya yang melanggar peraturan lalu lintas.

“Pengguna jalan raya dinasihat untuk lebih bertanggungjawab dan tidak mementingkan diri, jika melakukan kesalahan… saman RM300 akan dikeluarkan.

“Kami serius dengan perkara ini, jika rasa RM300 ini jumlah yang kecil, silalah langgar peraturan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op Selamat 15/2019 sempena Hari Raya Aidilfitri di sini, semalam.

Turut hadir Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias dan Pengerusi Telekom Malaysia Berhad (TM) Rosli Man.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata, seramai 4,500 pegawai dan anggota trafik akan bertugas mengawal lalu lintas di seluruh negara sepanjang Op Selamat kali ini.

Beliau berkata, pelbagai strategi disusun bagi melancarkan pergerakan lalu lintas serta menurunkan kadar kemalangan pada musim perayaan.

“Pelaksanaan konsep Sub-Tek di peringkat kontinjen, rondaan di kawasan ‘blackspot’ serta kempen keselamatan masih dijalankan tahun ini kerana ia menunjukkan keberkesanan,” katanya.

Beliau mengingatkan orang ramai untuk mengisi Borang Maklumat Balik Kampung yang boleh dimuat naik di aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP), di App Store dan Google Playstore bagi membendung kegiatan jenayah ketika mereka pulang berhari raya di kampung.

“Borang juga boleh didapati di balai-balai berhampiran dan ia membantu pelaksanaan polis untuk membuat rondaan di kediaman atau premis yang ditinggalkan,” katanya.

Op Selamat bertemakan ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’ yang mendapat penajaan TM itu turut membabitkan kerjasama pelbagai agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pengangkutan Jalan dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS). – Bernama



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.