Khamis, 30 Mei 2019

PH Kelantan minta buka lebuh raya baru sempena raya


   

Bagi mengurangkan kesesakan trafik pada musim perayaan Aidil Fitri tidak lama lagi, PH Kelantan memohon kerajaan membuka laluan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Kuala Krai (Pakej 2A) dari Perol ke Ketereh buat sementara waktu.

Pengerusi Portfolio Kementerian Kerja Raya PH negeri, Ab Aziz Ab Kadir berkata, hasil perbincangan dan taklimat oleh pasukan projek Jabatan Kerja Raya (JKR) pihaknya berpendapat adalah wajar sekiranya laluan tersebut dibuka sementara bagi penyuraian yang dijangka sesak menjelang Aidil Fitri tahun ini.

"Kita juga menerima rayuan daripada penduduk setempat dan pengguna jalan raya di Kelantan agar kerajaan dapat menimbang dan membuka jajaran lebuh raya tersebut buat sementara waktu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Semalam Abd Aziz yang juga penyelaras PH bagi Parlimen Ketereh bersama jawatankuasa portfolio itu serta Ketua Sekretariat PH Kelantan Mijd Soberi Shafii membuat tinjauan di lebuh raya berkenaan.

Difahamkan lebuh raya tersebut sudah siap melalui proses turapan dan kini kerja-kerja penyelenggaraan akhir sedang berjalan.

Setakat ini dalam projek tersebut hanya satu laluan yang sudah siap dan dibuka kepada orang ramai iaitu Pakej 1A melibatkan laluan dari Pasir Hor ke Perol.

Mengulas lanjut, Ab Aziz,berkata, pihaknya sudah menghantar surat permohonan kepada Kementerian Kerja Raya agar permohonan berkenaan diberi pertimbangan selayaknya demi kemudahan pengguna.

"Surat permohonan ini kita hantar kepada timbalan menteri dan diharap ia disokong sekali gus membenarkan penggunaan lebuh raya ini.

"Kita juga memberi cadangan agar pembukaan sementara itu datang buat bermula 3 hingga 9 Jun depan," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.