Rabu, 1 Mei 2019

Pemuda Umno sokong Asri selepas dibidas pekak oleh Dr M

FMT Reporters

a man wearing a hat and glasses: Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin. 
Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin. 


PETALING JAYA: Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin yang kerap mengkritik kerajaan Barisan Nasional dahulu, kini beralih kepada Umno untuk mendapatkan sokongan selepas sekutunya ditahan polis hujung minggu lalu.

Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan Asri menghubunginya untuk meminta mereka menyokong kenyataannya yang mendakwa kerajaan Pakatan Harapan pilih kasih kerana menahan Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu atas dakwaan menghina agama Hindu.

“…akhirnya sahabat saya, Dr Asri mengakui realiti kedudukan Islam di zaman PH yang disifatkan beliau terus dibuli dan tidak selamat.

“Moga Dr Asri dapat kembali lantang membongkar segala kecelaruan dan kepalsuan kerajaan PH hari ini, terutamanya yang berkaitan kepentingan Islam, ummah dan rakyat keseluruhannya,” tulisnya di Facebook hari ini.

Semalam, Dr Mahathir Mohamad membidas Asri “pekak” selepas mendakwa suara “mempertahankan Islam” sukar kedengaran dalam kalangan pemimpin PH sekarang.

Perdana menteri dilaporkan berkata, jika Asri boleh mendengar, sudah tentu dia tahu pelbagai perkara yang dilakukan kerajaan PH demi Islam dan umatnya.

Sebelum ini, Asri dilaporkan membidas penahanan Zamri yang didakwa menghina agama Hindu dalam satu ucapan di Masjid As Siddiqin di Kampung Panchor, Kelantan pada 30 Disember 2018.

Katanya, Zamri ditahan kerana berkongsi pengalaman peribadi menukar agama, tetapi individu dalam kerajaan yang dianggap menghina umat Islam dan menimbulkan ketegangan kaum “hanya dipanggil memberi keterangan”.

Asyraf berkata, Pemuda Umno tegas dan sudah berkali-kali membidas sikap pilih kasih kerajaan PH dalam isu sedemikian.

“Sehingga hari ini tiada kedengaran pemimpin mereka seperti (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) P Waytha Moorthy mahupun (Menteri Sumber Manusia) M Kulasegaran yang terang-terang menghasut dan mencetuskan ketegangan agama dan kaum dalam video-video ucapan mereka, direman mahupun diambil tindakan walaupun ratusan laporan polis sudah dibuat.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.