Rabu, 29 Mei 2019

Pasar Chow Kit, Kampung Baru diserbu imigresen

Hidayatul Akmal Ahmad

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) akan mengadakan satu mesyuarat bersama wakil negeri selepas sambutan Aidilfitri bagi membincangkan isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hasil mesyuarat itu akan disuarakan kepada kabinet bagi membendung secara serius isu PATI sejak sekian lama.

“Kita juga akan berbincang dengan agensi keselamatan yang lain bagi membincangkan isu ini secara holistik kerana ia adalah isu nasional.


“Tidak ketinggalan, kita juga akan minta kerjasama dari ketua kampung untuk membanteras isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas turun padang meninjau operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membanteras PATI di Kampung Baru di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut Hadir, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Dalam operasi bersepadu itu, JIM menjalankan operasi penguatkuasaan bersepadu ke premis di sekitar Pasar Chow Kit dan Kampung Baru.

Operasi bermula 9.15 malam dianggotai seramai 190 orang pegawai JIM termasuk pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta dibantu anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Dalam operasi itu, seramai 235 individu diperiksa. Daripada jumlah itu seramai 134 PATI ditahan.

Antara kesalahan dikenal pasti termasuk tiada dokumen, salah guna pas, tinggal lebih masa, pemegang kad yang tidak diiktiraf dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.