Rabu, 1 Mei 2019

‘Ok hubungan diplomatik, tapi bukan ikut upacara ibadat Syiah’

Oleh Siti Fatimah Ishak

Batu Karbala bukan tradisi di masjid Iran tapi memang cara solat Syiah

 


BANGI- “Tidak salah menjalin hubungan diplomatik dengan Iran, tetapi berpadalah, jangan sampai menyertai upacara ibadat orang Syiah.

“Ya, Malaysia pun ada hubungan diplomatik Vatican City, negara-negara Komunis dan sebagainya, namun kena ingat dalam urusan ibadah perlu ada tamayyuz – ciri yang membezakan.”

Demikian kata Timbalan Mufti Perak, Ustaz Zamri Hashim kepada Ismaweb.net tatkala tular gambar Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu sedang solat di Tehran, Iran, berimamkan Ayatollah Emami Kashani, baru-baru ini.

Lebih mengejutkan apabila di sejadah tempat menteri Pakatan Harapan itu bersolat ada seketul batu yang dinamakan sebagai Turbah atau ‘Batu Karbala’.

Batu Karbala digunakan oleh penganut ajaran Syiah sebagai tempat sujud mereka, diperbuat daripada tanah Karbala yang dianggap suci kerana Karbala adalah tempat terbunuhnya cucu Rasulullah ﷺ, Hussain yang menjadi imam kepada kelompok Syiah.

Mengulas perkara itu, Ustaz Zamri menegaskan, tanah karbala atau turbah di sejadah bukannya tradisi di masjid-masjid di Iran seperti yang didakwa Setiausaha Akhbar Menteri Pertahanan, Amin Shah Iskandar.

Katanya, dalam ajaran Syiah, itu bukan tradisi tetapi termasuk dalam cara solat orang Syiah.

“Pemimpim Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), Ismael Haniyyah pun pernah berada dalam situasi itu, tapi beliau tidak solat bersama untuk mengelakkan fitnah,” katanya.

Ustaz Zamri yang juga Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Ipoh berkata, isu Syiah ini sudah jelas dan fatwa pengharamannya telah diwartakan oleh hampir keseluruhan negeri-negeri di Malaysia.

Katanya, fatwa pengharaman di negara kita bukanlah yang pertama, bahkan ulama terdahulu seperti Imam Malik, Imam Ahmad, Imam al-Qurtubi, al-Bukhari dan Imam al-Ghazali terlebih awal menfatwakan golongan itu terkeluar daripada ajaran Islam yang sebenar.

“Asas fatwa ini cukup kuat kerana golongan ini bercanggah dari sudut akidah syariat dan akhlak.Rukun Islam Syiah tidak sama dengan rukun Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti terkandung di dalam kitab rujukan mereka iaitu Usul al Kafi (jilid dua hal 20),” katanya.

Tahun lalu, Mat Sabu turut mencetuskan kontroversi apabila menyertai majlis korban di masjid Zainabiyyah di Phatthalung, Selatan Thailand yang menjadi markas Syiah.

Kehadiran beliau yang turut memberi ucapan pada perhimpunan di masjid berkenaan dimuat naik dalam akaun Facebook pemimpin dan pengikut Syiah di markas berkenaan.

Sebelum itu, Mat Sabu pernah menggesa supaya umat Islam mencontohi kepimpinan Islam berdasarkan cara Imam Khomeni melalui tulisannya bertajuk ‘Teladan Pemerintahan Nabi Yusof, Khomeni’ dalam ruangan Fikrah yang terbit dalam akhbar Harakah pada 5 hingga 15 Julai 2008.

Mat Sabu juga menyatakan kekaguman dengan kepimpinan dan perjuangan pemimpin Revolusi Iran 1979, Ayatullah Ruhollah Khomeini yang mana banyak mencorak pemikiran beliau dalam ucapannya sebagai Timbalan Presiden PAS pada 13 Julai 2011.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.