Ahad, 26 Mei 2019

Marina, jangan banding Malaysia dengan Barat

Nizam Zain
31659944_10160226935810363_7403298511521181087_n-681x454
Marina Mahathir

KUALA LUMPUR – Anak Perdana Menteri, Marina Tun Dr. Mahathir diingatkan tidak membandingkan Malaysia dengan negara Barat dalam soal penguatkuasaan undang-undang syariah khususnya melibatkan kesalahan tidak berpuasa.

Exco Pemuda Pergerakan UMNO Malaysia, Mohd. Fariz Abdul Hadi menegaskan, tangkapan terhadap mereka yang tidak berpuasa bukan bertujuan menghukum sebaliknya untuk mendidik.

“Tugas jabatan agama Islam atau majlis agama Islam bukan sahaja kuatkuasa undang-undang syariah malah tugas mereka menjaga martabat dan kedaulatan Islam di Malaysia mengikut undang-undang syariah negeri masing-masing.

“Apabila mereka yang ditangkap tidak berpuasa, pesalah akan diberikan kaunseling agar tidak mengulangi kesalahan tersebut.

“Buat Marina Mahathir, kenapa nak dibandingkan Malaysia dengan undang-undang negara Barat?” katanya dalam entri terbaru di Facebook miliknya, hari ini.

Beliau mengulas ciapan terbaru Marina di laman Twitter semalam yang mempersoalkan orang Islam di Barat yang tidak diintip dan ditangkap jabatan agama.

FB_IMG_1558754149611

Marina antara lain berkata, bagaimana orang Islam di negara Barat boleh puasa sampai pukul 9 malam tiap-tiap hari dikelilingi orang yang tidak puasa tanpa diintip atau ditangkap oleh jabatan agama mana-mana.

Fariz juga berkata, penguat kuasa agama di negara ini tidak melakukan tangkapan atau pecah masuk di rumah mereka yang tidak berpuasa.

“Mereka yang ditangkap adalah umat Islam yang tidak berpuasa secara terbuka dan pihak yang menjual makanan kepada mereka tidak berpuasa.

“Ini kerana ia bukan saja menggalak bahkan memberi peluang serta ruang kepada mereka yang tidak berpuasa mendapatkan makanan.

“Bahasa mudahnya, jika tak nak berpuasa hormatilah mereka yang berpuasa,” katanya.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.