Pengarah Jabatan Penjara Terengganu, Ahmad Saidi Hamzah berkata terdapat 171 pelajar bergelar banduan muda berusia lingkungan 16 hingga 21 tahun sedang mengikuti pengajian di Sekolah Integriti, Penjara Marang yang mula beroperasi sejak 2008.
“Sekolah ini berbeza… mereka (banduan muda) sepatutnya masih di alam persekolahan, tetapi atas kesilapan sendiri, terpaksa menjalani hukuman. Ada antara mereka ambil SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), ia bagi membolehkan mereka mendapat pekerjaan apabila keluar nanti,” katanya kepada Bernama.
Ahmad Saidi berkata banduan muda tersebut diajar mata pelajaran yang sama sepertimana ditetapkan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia oleh guru terlatih dengan kaedah khas serta mudah difahami.
Katanya, selain menyasarkan banduan muda sekurang-kurangnya memiliki SPM, mereka turut diberi ruang untuk belajar dalam kelas 3M iaitu menulis, membaca dan mengira bagi membendung masalah buta huruf.
“Saya ucapkan syabas kepada cikgu dan guru agama di Sekolah Integriti kerana mereka sanggup masuk (ke sini) setiap hari. Kesanggupan ini tidak ada pada semua orang.
“Mereka korbankan keselesaan untuk diri sendiri dengan bekerja dalam suasana tidak selesa, panas dan berbeza dengan sekolah di luar untuk memastikan banduan muda ini menjadi insan berguna… banduan adalah insan yang betul-betul perlukan pertolongan,” katanya.
Tinjauan penulis di sekolah ini, mendapati banduan muda ini yang memakai uniform serba putih, berselipar dan berambut pendek dengan raut wajah serius, melakukan aktiviti sendiri antaranya membaca Al-Quran, belajar, berlatih kawat di bawah terik mentari dan ada juga yang sibuk membersihkan kawasan sekeliling.
Rutin padat itu adalah antara aktiviti harian banduan di situ bagi memastikan masa mereka terisi dari awal pagi hingga lewat petang.
Menurut penyelia sekolah terbabit, Nor Amalina Kasim, terdapat 5 kelas di sekolah itu yang memberi penekanan bagi SPM dan 3M untuk pastikan sifar buta huruf.“Kami menerima pelajar pelbagai latar belakang termasuk yang tidak pernah terima apa-apa pembelajaran,” katanya yang mengajar di situ sejak 2014.
Ketika ditanya apakah cabaran yang perlu dilaluinya, Nor Amalina berkata mereka hanya perlu fokus kerana kebanyakan banduan tidak mempunyai asas pembelajaran dan agama yang baik, lantaran itu mereka memulakan pendekatan dengan cara pengisian kerohanian.
Memandangkan majoriti pelajar di situ beragama Islam, mereka akan diketengahkan tentang mandi wajib, solat dan puasa selain adab, dengan dipantau oleh pengawal penjara sepanjang tempoh pembelajaran.
Untuk rekod, tahun lepas 5 banduan di sekolah berkenaan berjaya memperoleh sekurang-kurangnya 2A, meskipun pendidikan akhir mereka setakat darjah 6.
“Banduan yang meninggalkan memori indah pada saya ialah ‘Belalang’ (nama panggilan) yang sedang belajar di Politeknik. Dia berjaya keluar daripada pengaruh dadah dan sentiasa menghubungi saya untuk memaklumkan keadaannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.