THE MALAYSIAN TIMES
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan keselamatan kepada Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low untuk pulang ke tanah air bagi melalui proses undang-undang.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata dakwaan kononnya ahli perniagaan kontroversi yang didakwa terbabit dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu akan ditahan, diseksa dan dibunuh sekiranya pulang adalah tidak benar sama sekali.
Beliau berkata, jaminan perlindungan keselamatan bukan sahaja kepada Jho Low tetapi anggota keluarga serta rakan-rakannya yang didakwa terbabit dalam skandal 1MDB.
“Malaysia mempunyai undang-undang, balik jika tidak bersalah dan jangan guna peguam untuk keluarkan kenyataan serta membuat sebarang penafian.
“Jho Low dan rakan boleh pulang bersama peguam yang terbaik untuk pertahankan mereka…jangan bazirkan masa kami, mereka tidak boleh lari selama-lamanya),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op Selamat 15/2019 sempena Hari Raya Aidilfitri di sini, hari ini.
Beliau turut menegaskan yang pihaknya mengetahui keberadaan ahli perniagaan yang diburu itu namun enggan mendedahkannya kepada media.
“Kami tahu di mana Jho Low dan rakannya bersembunyi dan polis menggunakan semua sumber yang ada termasuk bekerjasama dengan pihak berkuasa luar untuk mengesan Jho Low.
“Kami juga tahu di mana Pengarah SRC International Sdn Bhd (SRC International) Nik Faisal Ariff Kamil Nik Othman Arif Kamil berada,” katanya.
Abdul Hamid berkata, kes 1MDB menjadi keutamaan beliau sejak memegang jawatan Ketua Polis Negara awal bulan ini.
“Itu (kes 1MDB) adalah keutamaan saya, kita perlu selesaikan 1MDB ini dengan secepat mungkin),” katanya.
Mengulas mengenai serbuan di firma juruaudit, Deloitte Malaysia semalam, Abdul Hamid berkata polis sedang mengumpul beberapa dokumen yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan penyelewengan dana 1MDB.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.