KUALA LUMPUR – Majalah Gila-Gila diminati sejak betahun-tahun kini hadir dengan evolusi teknologi canggih apabila diterbitkan menerusi aplikasi digital.
Bersempena empat dekad penerbitannya, Eksekutif Gila-Gila Digital Syafeeq Shahman Jaafar berkata, pembangunan aplikasi Gila-Gila Komiks ini demi memudahkan peminat setia karya kartunis koleksi-koleksi lama dan semasa.
“Dunia Internet kini menguasa industri kartunis. Gila-Gila sedar perlu ikut teknologi untuk kekal dan relevan dalam industri,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian aplikasi itu di Rumah Kartun dan Komik Malaysia hari ini.
Gila-Gila yang dianggap khazanah negara, tambah beliau perlu dikekalkan seiring dengan jualan cetak dan digitalnya kerana mempunyai peminat setia yang tersendiri.
“Gila-gila ini satu khazanah negara yang perlu kita jaga bermula 1978 dan satu-satunya majalah humor tertua di Asia Tenggara,” ujar Syafeeq.
Aplikasi digital Gila-Gila Komiks ini boleh dimuat turun menerusi IOS dan menerusi Play Store secara percuma dan mempunyai tiga kategori iaitu Majalah GG, Koleksi GG, GG Komiks dan GG Tv.
Sebanyak 800 koleksi daripada majalah itu diterbitkan sejak 40 tahun yang lalu akan kembali diletakkan dalam aplikasi itu secara berperingkat.
Mengulas lanjut, Syafeeq tidak menolak keperluan untuk melakukan tapisan karya-karya koleksi majalah itu untuk kesesuaian masyarakat pada hari ini.
“Kita tapis apa yang kita muat naik, agar sesuai dengan semua peringkat umur. Sebab ada karya dulu yang tidak sesuai dengan bahasa, politik dan perkauman hari ini,” katanya lagi.
Tidak hanya menumpukan kepada koleksi Majalah Gila-Gila yang diminati ramai sejak dulu, aplikasi digital ini juga memberi peluang kepada kartunis muda tempatan untuk menerbitkan karya mereka.
Hadir sama menyempurnakan acara perasmian ialah Tokoh Kartunis Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Datuk Lat menyuarakan harapannya agar kegemilangan Gila-Gila dapat dikembalikan dengan penubuhan aplikasi ini.
Beliau dalam masa yang sama mahu platform ini digunakan sebaiknya oleh kartunis tempatan untuk menyiarkan karya mereka.-MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.