Beraksi dalam gelanggang kaca di Arena Nicol David, Bukit Jalil, pemain berusia 20 tahun itu melakukan kejutan apabila mengambil masa 38 minit untuk mengalahkan pemain Hong Kong berusia 30 tahun itu dengan 11-7, 11-8, 14-17, 11-8.
Sivasangari membuktikan status ranking ke-50 dunia miliknya tidak menghalang pemain kelahiran Sungai Petani, Kedah itu mengalahkan pemain berpengalaman seperti Joey Chan yang kini menghuni ranking ke-19 dunia.
Pemenang pingat perak Sukan Asia 2018 itu akan membuat perhitungan dengan pemain pilihan ke-2, Joshana Chinappa dari India di separuh akhir esok.
Joshana turut mara ke separuh akhir apabila menundukkan rakan senegara, Tanvi Khanna, pilihan ke-14, 12-10, 13-11, 11-7 dalam masa 34 minit.
Sivasangari kini menuntut di Universiti Cornell di Ithaca, New York, sejak Januari lalu dan turut menyertai sirkit tempatan di negara itu.
Sementara itu, seorang lagi wakil negara, Low Wee Wern bangkit daripada ketinggalan 2 set untuk mara ke separuh akhir apabila menewaskan pemain Jepun, Satomi Watanabe 5-11, 5-11, 11-1, 11-8, 11-8 dalam pertarungan selama 46 minit.
Wee Wern, pilihan ke-4, bagaimanapun, bakal menghadapi tugas getir apabila bertemu pemain pilihan utama, Annie Au dari Hong Kong yang hanya mengambil masa 29 minit untuk menyingkirkan rakan senegara, Liu Tsz Ling 12-10, 12-10, 11-5.
Dalam acara lelaki, bekas juara remaja dunia 2 kali, Ng Eain Yow, satu-satunya wakil negara menjejak kaki ke pentas separuh akhir selepas Mohd Naffizwan Adnan dan Ivan Yeun Chee Wern tumpas di peringkat suku akhir.
Eain Yow, pemain pilihan ke-7, mengejutkan pemain pilihan ke-3, Max Lee Ho Yin dari Hong Kong 11-8, 8-11, 11-7, 11-7 dalam masa 50 minit untuk berdepan dengan pilihan utama, Saura Ghosal dari India, esok.
Saura mengambil masa 34 minit untuk mengesahkan tiket ke separuh akhir apabila mengalahkan Mohd Nafiizwan 11-4, 11-4, 11-3.
Ivan Yeun ditunjukkan jalan keluar oleh pemain Hong Kong, Leo Au Chun Ming dengan keputusan 6-11, 11-7 11-5, 11-7 dalam pertarungan selama 62 minit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.