Khamis, 30 Mei 2019

DOJ dan peguam Jho Low setuju jual hartanah

MALAYSIAKINI

   
Beberapa hartanah termasuk dua kediaman mewah yang dikaitkan dengan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low akan dijual.

Ia susulan usul bersama oleh pihak yang terlibat dalam saman sita hartanah berkenaan yang meminta mahkamah AS untuk menangguhkan prosiding bagi membolehkan penjualan interlokutori hartanah itu.

Hartanah yang terlibat termasuklah kediaman di Time Warner Penthouse bernilai AS$30.55 juta (RM128.2 juta) di New York yang dituntut oleh 80 Columbus Circle (NYC) LLC dan kondominium di New York bernilai AS$13.8 million (RM58 juta) yang dituntut oleh 118 Greene Street (NYC) LLC.

Perkara itu dimaklumkan dalam dokumen pemfailan mahkamah bertarikh 29 Mei yang turut dilihat Malaysiakini.

Dokumen itu bagaimanapun tidak menyatakan syarat atau sebab penjualan berkenaan.

Jabatan Kehakiman AS (DOJ) sebelum ini mendakwa hartanah berkenaan dibeli menggunakan wang 1MDB yang diseleweng.

Mahkamah juga memberikan kebenaran kepada DOJ bagi prosiding pada 2017 untuk tidak mencampuri siasatan jenayah yang sedang dijalankan oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI) AS.

Sementara itu, mahkamah sama juga meluluskan permohonan untuk penjualan interlokutori banglo bernilai AS$39 juta di Los Angeles, California yang dituntut oleh Oriole Drive (LA) LLC.

Hakim Dale S Fischer menandatangani arahan mahkamah itu pada 7 Mei lalu.

Bagaimanapun, DOJ dan Oriole Drive (LA) LLC semalam memohon untuk meminda terma penjualan untuk memasukkan cukai yang perlu dibayar melalui hasil penjualan hartanah berkenaan.

Terma baru itu juga membolehkan penuntut untuk dibayar balik kos cukai dan penyelenggaraan.

Seperti sebelum ini, penjualan berkenaan tidak bererti Jho Low, yang mencabar penyitaan berkenaan melepaskan tuntutan ke atas hartanah berkenaan.

Menurut pemfailan mahkamah, penjualan itu dilakukan kerana banglo Oriole berkemungkinan rosak sekiranya tidak dijual kepada pihak ketiga untuk didiami sementara menunggu proses mahkamah.

Pemfailan itu juga menyatakan bahawa kos penyelenggaraan hartanah itu terlalu tinggi dan kemungkinan tidak sesuai dengan harga pasarannya.

Hasil penjualan itu - selepas menolak cukai dan perbelanjaan lain - akan dijadikan subjek penyitaan hartanah berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.