Kamarul Yusoff
Persepsi berdasarkan laporan media sebab Syazlin Mansor tarik diri
BANYAK
pihak yang bersuara dalam media sosial mengenai tindakan peguam Syazlin
Mansor menarik diri daripada mewakili Kementerian Perumahan dan
Kerajaan Tempatan (KPKT), serta Jabatan Penyelamat dan Bomba Malaysia
dalam prosiding inkues Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.
Tiga perkara utama yang disuarakan adalah:
(1) Apa punca Syazlin Mansor menarik diri?;
(2) Sama ada Syazlin Mansor diarahkan menarik diri?; dan
(3) Siapa yang mengarahkan Syazlin Mansor menarik diri?
Mengenai
soalan apa punca Syazlin menarik diri, berdasarkan laporan media,
khususnya The Malaysian Insight persepsi yang terbentuk adalah bahawa:
(1) Mengikut Syazlin, penarikan diri beliau akan menyebabkan keterangan saksi pakar Dr Shahrom Abd Wahid terbatal;
(2)
Keterangan Dr Shahrom bahawa kecederaan Muhammad Adib berpunca daripada
beliau ditarik daripada van Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan
(EMRS) dan diserang;
(3)
Keterangan Dr Shahrom adalah bercanggah dengan keterangan saksi pakar
yang dikemukakan oleh timbalan pendakwa raya, iaitu Dr Ahmad Hafizam
Hasmi dan Dr Mohd Shah Mahmood;
(4)
Keterangan Dr Ahmad Hafizam dan Dr Mohd Shah adalah bahawa kecederaan
Muhammad Adib bukan berpunca daripada beliau ditarik dari van EMRS dan
diserang; dan
(5) Oleh
itu, penarikan diri Syazlin akan menyebabkan keterangan saksi pakar Dr
Shahrom Abd Wahid ditolak manakala keterangan saksi pakar Dr Ahmad
Hafizam Hasmi dan Dr Mohd Shah Mahmood diterima.
Mengenai
soalan sama ada Syazlin diarahkan menarik diri, berdasarkan laporan
media, khususnya Malaysia Kini, persepsi yang terbentuk adalah bahawa:
(1)
Mengikut Syazlin, penarikan diri beliau berlaku selepas Menteri
Perumahan dan Kerajaan Tempatan menghubungi beliau Jumaat lalu dan
selepas beliau menemui menteri berkenaan Sabtu lalu;
(2) Mengikut Syazlin, penarikan diri beliau adalah keputusan beliau sendiri;
(3)
Mengikut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, penarikan diri Syazlin
berlaku kerana ‘diarah untuk batalkan’ (instructed to revoke);
(4) Mengikut Peguam Negara, beliau ‘tiada komen’ (have no comment); dan
(5) Oleh
itu, walaupun Syazlin sendiri menyatakan penarikan diri beliau adalah
keputusan beliau sendiri, dan walaupun Peguam Negara menyatakan beliau
‘tiada komen’, kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan
menunjukkan arahan penarikan diri beliau, wujud.
Mengenai
soalan siapa yang mengarahkan Syazlin menarik diri, berdasarkan laporan
media, khususnya Sinar Harian, persepsi yang terbentuk adalah bahawa:
(1)
Mengikut sumber, penarikan diri Syazlin berlaku ekoran sepucuk surat
yang ‘dikeluarkan oleh pegawai kanan kerajaan yang berkuasa dalam
undang-undang’ yang mengandungi ‘arahan terhadap Syazlin dan pihak
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan’ agar menarik diri;
(2)
Mengikut sumber, ada pihak tercabar dengan kredibiliti Syazlin yang
begitu tegas dan agresif mencari kebenaran serta keadilan buat Muhammad
Adib;
(3)
Mengikut sumber, arahan penarikan diri Syazlin berlaku ekoran ‘Syazlin
telah memalukan pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes itu’; dan
(4) Oleh
itu, walaupun tidak dinyatakan secara spesifik siapa yang mengarahkan
Syazlin menarik diri, kenyataan bahawa arahan itu terkandung dalam
sepucuk surat yang dikeluarkan oleh ‘pegawai kanan kerajaan yang
berkuasa dalam undang-undang’ dan kenyataan bahawa ‘Syazlin Mansor telah
memalukan pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes itu’ adalah petunjuk
jelas arahan ini datang daripada siapa.
Apa pun,
semua ini hanyalah persepsi yang terbentuk daripada laporan-laporan
media sahaja dan persepsi ini boleh berubah dengan kemunculan
laporan-laporan media baru mahupun dengan kemunculan kenyataan rasmi
pihak-pihak yang berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.