Rabu, 24 April 2019

SIASAT SEMUA PARTI-HADI


Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu bersikap lebih adil dalam menyiasat dakwaan konon terdapat pemimpin PAS yang menerima wang daripada UMNO.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata kerajaan perlu menilai secara telus terhadap kesemua saluran wang yang diterima oleh parti politik lain di negara ini berbanding hanya memberi fokus kepada PAS.

Katanya Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa terdapat pemimpin PAS yang menerima wang daripada UMNO juga perlu disiasat.

“Kerajaan jangan siasat kita sahaja, kerajaan perlu siasat diri dia sendiri (Anwar) baru adil. Dia sebelum ini menguar-uarkan dapat duit dari luar negara dan biar dia berani (dedahkan).

“PAS ini jika dihimpunkan derma yang diterima pada setiap ceramah pada sepanjang tahun, lebih daripada RM90 juta kita boleh dapat dan beribu Pusat Asuhan Tunas Islam atau PASTI boleh dibuka hanya daripada sumbangan kita sendiri,” katanya

dalam sidang media selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Perak Kali Ke-36 di Felda Residence Hot Spring di Sungkai, Perak pada Ahad.

Dalam perkembangan sama, Abdul Hadi menegaskan pihaknya mengalu-alukan pendedahan Anwar berkaitan pemimpin PAS yang didakwa tersebut.

“Terpulang kepada dia (Anwar Ibrahim), dia dedahkan dulu siapa pemimpin itu barulah kita buat kenyataan.

“Kita pun ada kenyataan pemimpin lain ada menerima bantuan dari luar negara dengan jumlah yang sangat besar, itu lagi haram. Kita tak ada bukti (tuduhan terhadap PAS), kita bergerak sendiri,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.