Rabu, 24 April 2019

Negeri ada hak milik jika jumpa mineral di laluan projek ECRL

ISMA WEB

Pelantikan utama lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi syarikat usaha sama CCCC dan MRL akan ditetapkan Kerajaan Malaysia


KUALA LUMPUR – Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menafikan dakwaan bahawa China Communications Construction Company Ltd (CCCC) mempunyai sebarang hak dan kepentingan terhadap hasil mineral dan galian di negeri yang terbabit ketika pembinaan projek ECRL sepanjang 640 kilometer.

“MRL ingin menekankan bahawa pembinaan projek ECRL yang kini menghubungkan Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor dan Putrajaya adalah tertakluk kepada Kanun Tanah Negara 1965.

“Antaranya, Seksyen 40 Kanun Tanah Negara 1965, dengan jelas menyatakan bahawa semua galian dan bahan batuan yang terkandung atau berada di atas tanah adalah hak milik kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Negeri,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

MRL memetik Seksyen 40 Kanun Tanah Negara 1965 iaitu semua harta dalam Tanah Kerajaan, semua galian dan bahan batuan yang terkandung di dalam atau di atas mana-mana tanah (kecuali jika hak-hak ke atasnya telah dilupuskan oleh Pihak Berkuasa Negeri) adalah terletak hak hanya kepada Pihak Berkuasa Negeri.

Justeru, MRL menafikan dakwaan berita dan ulasan yang menyatakan bahawa hasil mineral dan galian seperti emas dan silika akan dimiliki oleh CCCC ketika pembinaan rangkaian rel ECRL.

Menurut syarikat itu, sama seperti mana-mana kontrak pembinaan, kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pelaksanaan (EPCC) bagi projek ECRL juga mempunyai klausa ‘antiquities’ di mana semua barang antik dan harta berkepentingan yang dijumpai di tapak pembinaan akan dimiliki sepenuhnya oleh majikan tersebut, di dalam situasi ini ia adalah MRL.

MRL juga mengulangi bahawa pihaknya adalah pemilik penuh aset rangkaian rel ECRL dalam syarikat usaha sama 50:50 yang akan ditubuhkan bersama CCCC untuk operasi dan penyelenggaraan ECRL.

Ini bertujuan bagi memastikan aset di bawah projek ECRL adalah dalam kawalan kerajaan Malaysia, katanya.

MRL, anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan), juga menjelaskan bahawa pelantikan utama anggota lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi di dalam syarikat usaha sama akan ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.

Sebagai pemilik aset dan projek ECRL, MRL menyangkal dakwaan berita dan ulasan yang mencadangkan bahawa Malaysia berisiko menggadaikan aset dan kedaulatan negara kepada China hasil daripada syarikat usaha sama.

MRL berkata, tujuan utama syarikat usaha sama antara MRL dan CCCC ditubuhkan adalah untuk perkongsian risiko operasi dan sokongan teknikal selain Malaysia juga dapat memanfaatkan kepakaran operasi dan penyelenggaraan ECRL menerusi konglomerat yang disokong kerajaan China.

MRL juga memaklumkan bahawa menerusi Memorandum Persefahaman (MoU), tiada jaminan pendapatan atau keuntungan daripada kerajaan Malaysia untuk usaha sama MRL-CCCC dalam menguruskan operasi dan penyelenggaraan.

Justeru, pembahagian keuntungan dan kerugian syarikat usaha sama tertakluk kepada MoU yang telah dipersetujui iaitu melalui persefahaman yang telah dicapai, kerugian operasi ECRL akan ditanggung 50:50 antara MRL dan CCCC, menurut syarikat tersebut.

Namun, jika operasi mencatatkan keuntungan, 80 peratus keuntungan adalah milik MRL dan baki 20 peratus akan dimiliki CCCC, katanya. – Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.