IPOH: PAS
Kawasan Ipoh Timur bersiap siaga bagi membantu calon BN di PRK N.27
Rantau dengan menghantar pasukan Mujahid Siber untuk bertugas sepanjang
tempoh kempen.
Wakil pasukan, Idris Sujak
memaklumkan, anggota dari kawasan itu akan melaksanakan tugas mengikut
giliran ditetapkan khususnya dalam menggerakkan operasi penerangan
siber.
Terdahulu pasukan tersebut
mengadakan pertemuan mengatur strategi operasi yang turut dihadiri Ketua
Urusan Ulamak PAS Ipoh Timur, Ustaz Abdul Halim Maruai di Markas UPU
Pengkalan Barat, di sini semalam.
"Pasukan ini akan menegakkan
kebenaran dan kemurnian perjuangan Islam. Menjawab segala kesamaran dan
menangkis pelbagai serangan dengan mujadalah yang berhemah," terang Idris.
Ustaz Abdul Halim pula
mengingatkan anggota pasukan tersebut bahawa alam siber juga adalah
pentas jihad kontemporari untuk para pejuang mencari keredaan Allah dan
pahala dari tugas yang dilaksanakan.
Menerusi ruang maya itu
katanya, risalah Islam perlu menemui sasaran menyampaikan fakta dan data
yang benar, selain pendekatan bersesuaian serta bistari, termasuk
menjawab persoalan, menangkis fitnah dan menolak kebatilan.
Ujar beliau juga, usah
dibimbangi dan resah terhadap aksi serta serangan tentera siber
musuh-musuh Islam, sebaliknya hadapi mereka dengan sahsiah dan disiplin
akhlak Islam. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.