Muhyiddin berkata, dalam Bersatu hanya ada satu “team Bersatu” sahaja dan jika ada dakwaan kononnya ada dua team, itu hanyalah persepsi sesetengah masyarakat yang melihat seolah-olah berlakunya perbalahan dan perpecahan dalam parti.
Katanya, adalah biasa jika anggota mempunyai pendapat dan pandangan berbeza dalam mana-mana organisasi pun, namun, itu tidak boleh dianggap sebagai satu perpecahan.
“Kita telah bekerja membentuk kerjasama yang baik dengan parti-parti seperti PKR, Amanah sehingga kita berjaya dan hari ini, kita telah dalam kerajaan. Jadi, kami (Bersatu) amat sedar bahawa perpaduan, kerjasama amat penting.
“Jadi, saya harap tiada pihak yang hendak mencari kesempatan atau sengaja hendak mereka-reka cerita yang tidak betul supaya mencemarkan nama baik parti saya, parti kita.
“Yang penting ialah untuk melihat kerjasama ini dapat berterusan. Tiada apa-apa konflik yang berlaku di antara kumpulan tertinggi sejak Bersatu bermula hingga ke hari ini,” katanya sebagai menjawab dakwaan kononnya terdapat ‘team Muhyiddin dan team Dr Mahathir’ dalam Bersatu ketika ini.
Muhyiddin ditemui dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Ulang Tahun Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang ke-47 peringkat negeri Johor di Hab Pendidikan Tinggi Pagoh di sini, hari ini.
Sementara itu, ditanya pula sejauh mana kebenaran kenyataan seorang bekas EXCO Johor yang menuduh barisan EXCO negeri itu yang baru adalah ”team” beliau, Muhyiddin menegaskan, andaian itu juga tidak tepat serta tidak membantu menunjukkan suasana yang baik bahawa kerajaan yang dipimpin Menteri Besar sekarang (Datuk Dr Sahruddin Jamal) akan terus melaksanakan amanah dan tanggungjawab mereka.
“Waktu YB Mazlan Bujang (bekas exco yang membuat dakwaan) menjadi exco dahulu, dia tidak kata pula dia team saya. Patutnya dulu pun dia kata team saya.
“Tidaklah baik dari sesiapa sahaja pun mengeluarkan kenyataan, seolah-olah ada team ini ada team itu. Tidak ada, pasal semasa saya tubuhkan parti ini, saya melihat team Bersatu sahaja atau pun team Pakatan Harapan sahaja.
“Jadi tidak eloklah membuat kenyataan begitu. Sebenarnya, kita dalam satu pakatan, harus bekerjasama ketepikan perbezaan atau rasa kurang puas hati walau apa sekali pun perkara. Tumpukan pada usaha untuk menyokong kepimpinan kerajaan negeri dan melaksanakan usaha pembangunan,” katanya.
Ditanya lagi sama ada ketidakpuasan hati itu turut akan mengakibatkan perpecahan dalam Bersatu Johor, Muhyiddin berkata beliau berharap ia tidak begitu.
“…pasal kita kena ingat, kita menang dulu pun kerana kita bekerjasama sebagai satu pasukan yang bersatu. Kalau tujuannya hanya untuk memecah-belahkan supaya kita kalah, itu niat tidak ikhlas.
Sepatutnya tidak berbangkit soal itu,” katanya.
Minggu lepas, menerusi beberapa laporan akhbar, Mazlan dipetik sebagai berkata terdapat EXCO-EXCO baharu yang dipilih dalam barisan EXCO negeri Johor merupakan “Team Muhyiddin”.
Namun, ia telah dinafikan oleh Menteri Besar Johor sendiri yang mengatakan kesemua EXCO dipilih merupakan pilihannya sendiri, untuk melaksanakan aspirasi kerajaan Pakatan Harapan demi kebaikan rakyat Johor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.