TINDAKAN Nu’man Afifi
yang menyerang program dakwah Mukhayyam yang dianjurkan oleh JAKIM
kepada golongan LGBT seolah-olah membiarkan golongan tersebut semakin
berisiko.
Program ini amat penting kepada golongan
ini mendapatkan ilmu agama sebagai rawatan utama bagi mengatasi
kecenderungan mereka kepada sesama jantina. Program ini juga terbukti
meninggalkan kesan yang mendalam apabila beribu alumni Mukhayyam masih
terus menyertainya setiap tahun.
Namun begitu, tindakan Nu’man Afifi yang mendakwa program tersebut sebagai salah satu ‘violence’
dalam ucapannya pada Semakan Berkala Sejagat (UPR) Majlis Hak Asasi
Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) dilihat menghalang
golongan LGBT mendapatkan didikan agama. Malah tindakan tersebut juga
memalukan negara Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas menyebarkan
ilmu agama kepada semua rakyat.
Dakwaan tersebut dilihat sebagai salah
satu langkah untuk menyekat golongan ini daripada dirawat malah ia juga
dilihat sebagai salah satu langkah untuk terus mengiktiraf perjuangan
ideologi seksualiti merdeka. Oleh itu, kerajaan seharusnya lebih serius
dalam membendung penyebaran ideologi songsang seperti ini.
Tindakan kerajaan yang hanya membisu
selepas penahanan beberapa individu yang terlibat dalam perhimpunan
haram LGBT baru-baru ini jelas menunjukkan kerajaan masih lagi tidak
serius dalam menangani isu ini. Lebih malang lagi, jika kerajaan terus
membisu, tidak mustahil ideologi songsang ini dapat diterima umum pada
masa hadapan.
Justeru itu, inisiatif JAKIM dengan
menyediakan program Mukhayyam sepatutnya disokong oleh semua pihak agar
mereka dapat dipulihkan melalui ruang lingkup agama sekali gus mampu
menyekat fahaman ini dari terus membarah.
Saya percaya konsep rahmatan lil alamin yang
dibawa oleh kerajaan dalam memerangi isu LGBT dapat menyelamatkan
golongan tersebut daripada terus melakukan kesalahan namun saya ingin
tegaskan agar kelembutan yang ingin diketengahkan tidak membuka ruang
kepada golongan ini terus-menerus menyebarkan ideologi mereka kepada
masyarakat.
"Islam Memimpin"
*YB SENATOR NURIDAH MOHD SALLEH, Ahli Dewan Negara - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.