Selasa, 23 April 2019

Hilang di Kajang, jumpa di Teluk Intan

Hafidzul Hilmi Mohd Noor
 


KERETA milik Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh, yang hilang dicuri di parkir restoran di Kajang 18 April lalu ditemui di belakang bangunan di Taman Melor Sejati, Sejati Waterfront, Teluk Intan, Perak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire itu ditemui pada 5 petang, semalam.

“Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak mengesan kenderaan jenis Toyota Vellfire warna hitam, yang diletakkan dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati kereta berkenaan masih dilaporkan hilang bersabit kes curi kenderaan di Kajang. Kenderaan dibawa balik ke IPD Hilir Perak untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pada 18 April lalu, Toyota Vellfire yang digunakan Pengarah JSJN Bukit Aman itu hilang dipercayai dicuri ketika diletakkan di parkir restoran di Sungai Ramal, Kajang.

Kenderaan mewah itu disedari hilang oleh pemandunya berusia 31 tahun sebaik selesai makan di restoran berkenaan.

Pemandu terbabit dikatakan dalam perjalanan dari Jinjang selepas selesai menyelenggara kenderaan itu sebelum menuju ke Negeri Sembilan.

Pemandu singgah untuk makan di restoran di Sungai Ramal pada 7 malam dan sebaik selesai makan kira-kira 8 malam, dia menyedari MPV berkenaan tiada di parkir berhampiran restoran itu.

Berita berkaitan
MPV Pengarah Bukit Aman pun kau sebat
[UPDATE] Polis giat kesan MPV Pengarah JSJN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.