PRK SANDAKAN | Walaupun tidak menurunkan calonnya PAS tidak akan berdiam diri melihat parti pembangkang mencabar PH dalam PRK Sandakan yang kini memasuki tempoh berkempen secara rasmi.
Justeru Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata parti itu akan menggerakkan jentera mereka untuk membantu Parti Bersatu Sabah (PBS) menghadapi calon kerajaan pada 11 Mei ini.
Kata Takiyuddin berkata tindakan itu bagi memastikan semua gerak kerja pembangkang berjalan lancar dan berkesan.
"PAS khususnya di peringkat Sandakan dan Sabah akan menggerakkan jentera pilihan raya setempat terutama bagi memastikan anggota dan penyokong-penyokong parti di kawasan itu supaya turun membuang undi pada 11 Mei 2019 bagi membantu calon blok pembangkang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
PRK Sandakan diadakan susulan kematian penyandangnya, Stephen Wong pada 28 Mac lalu.
Seramai lima calon menawarkan diri untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Wong.
PH mempertaruhkan anak bongsu mendiang, Vivian Wong, 30, sebagai calon manakala pembangkang cuba merampas kawasan tersebut melalui Linda Tsen, 63, yang juga bekas anggota parlimen Batu Sapi.
Tidak ketinggalan, tiga lagi calon bebas iaitu Chia Siew Yung, Sulaiman Samat dan Hamzah Abdullah.
Untuk rekod PAS Sabah pernah menyatakan kesanggupan mereka meletakkan calon bagi merebut kerusi parlimen Sandakan di sebalik komposisi pengundi setempat yang menyaksikan 51 peratus adalah masyarakat Cina.
Daripada kira-kira 40,000 pemilih berdaftar, hanya 16 peratus adalah Melayu, bumiputera 26 peratus dan lain-lain 7 peratus.
Pada PRU ke-14 tahun lalu PH memenangi kerusi berkenaan dengan kelebihan 10.098 undi.
Mendiang Wong mendapat 19,094 undi.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, langkah itu diambil ke arah menguatkan lagi blok pembangkang yang akan memainkan peranan semak dan imbang di Parlimen.
Katanya penyertaan PAS itu juga dibuat demi kebaikan negara dan seluruh rakyat Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.