SELANGORKINI
SINTOK: Seorang pesara pegawai tentera sanggup memerah keringat
membina sebuah surau dengan menggunakan batu sungai demi menyediakan
kemudahan ruang solat untuk pekebun dan penoreh getah di Bukit Kachi, di
sini.
Mejar (B) Mustapa Musa, 58, memulakan pembinaan surau itu
sejak April tahun lalu, dibantu seorang kenalannya yang membantunya
mengutip batu-batu dari sebatang sungai terletak kira-kira 50 meter dari
tapak surau dan menyusunnya menjadi dinding.
Katanya, surau itu
yang diberi nama Surau Batu Sungai Bukit Kachi, dibina dengan keluasan
7.6 meter lebar dan 10.6 meter panjang atas tanahnya sendiri dalam
kawasan kebun getah, di sini.
“Bukan
sebarang orang boleh buat surau ini kerana perlu mengutip jumlah batu
yang banyak, namun semua perasaan itu hilang apabila ada yang datang
bersolat di sini dan rasa sangat bersyukur kerana proses pembinaannya
berjalan lancar,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.
Mustapa
berkata, kira-kira 13,000 bongkah batu digunakan untuk membina surau
itu yang turut dilengkapi dengan sebuah bilik air dan dewan terbuka
untuk kegunaan orang ramai yang datang berkunjung ke kawasan itu.
Selain
itu, beliau turut membelanjakan kira-kira RM30,000 untuk peralatan dan
bahan binaan lain untuk surau itu yang kini hampir siap sepenuhnya serta
sudah boleh digunakan.
Mustapa mengakui pembinaannya sedikit
rumit, namun beliau bertekad menyiapkan demi memenuhi impian memiliki
surau sendiri selain bercadang menginfakkannya untuk kedua orang
tuanya.
“Surau ini adalah sebagai satu cara berdakwah
walaupun ia terletak di dalam kawasan kebun getah, saya mahu
kelainan supaya orang tertarik untuk singgah menunaikan solat,
kerana mereka yang pernah datang bersolat di sini mengatakan suasana di
dalamnya sejuk dan menenangkan,” katanya.
Beliau turut bersyukur
apabila kemudahan elektrik dan air akan dibekalkan oleh pihak berkaitan
sekali gus dapat memastikan surau itu dapat digunakan dengan selesa
terutama pada waktu malam.
Surau yang dibina di atas tanah hampir satu hektar itu mampu memuatkan hampir 85 orang jemaah pada satu-satu masa.-BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.