SERDANG: Usianya baru 25 tahun, malah belum pun bergraduasi.
Tetapi dalam usia yang masih hijau itu, dia kini pemilik empat buah syarikat berstatus 'enterprise'. Semuanya kerana dia berani menyahut cabaran memasuki dunia perniagaan dan rajin menimba ilmu.
Permulaan bagi Noorazeaty Maulad Mohd Khalif mengenali bidang perniagaan adalah dari dalam keluarganya sendiri. Dididik berniaga seawal usia 8 tahun, dia yang mesra disapa Zety tidak pernah duduk diam semenjak itu.
Sebaliknya, setiap saat masanya diisi dengan bekerja untuk mencari wang demi mengumpul modal untuk berniaga. Malah dia juga tidak berkira untuk hadir ke sesi latihan atau bengkel keusahawanan, biarpun ada masanya terpaksa berulang-alik dari rumahnya di Banting ke Kuala Lumpur.
"Kalau diikutkan sejak usia 20 tahun, saya sudah berhasrat mahu berniaga. Ketika itu, muncul idea untuk mengusahakan penternakan lembu, malah saya berniat untuk menamatkan pelajaran sehingga diploma sahaja.
"Tetapi ibu meminta saya meneruskan pelajaran ke peringkat ijazah, jadi saya tunaikan permintaannya. Dalam masa yang sama, saya mencari peluang untuk berniaga dan bekerja separuh masa.
"Semasa bekerja separuh masa itu, saya pernah ada pengalaman bekerja dalam tempoh yang lama tetapi dibayar gaji sangat sedikit. Dari situ saya sedar, saya tidak mahu bekerja di bawah orang lagi," ceritanya ketika ditemui media selepas program Reach Out and Awareness Protégé di Universiti Putra Malaysia, pada Rabu.
Pernah mengalami kerugian RM20,000 ketika awal pembabitan dalam perniagaan, Ikon Usahawan UPM itu kini boleh berbangga dengan pencapaiannya hari ini.
Bermula dengan modal RM3,000, pendapatan bersih Zety yang memiliki jenama Delish Chocolate secara keseluruhan kini dianggarkan kira-kira RM15,000 sebulan.
"Sebenarnya, sampai sekarang saya masih menanggung kerugian itu. Tetapi tidak mengapa kerana perjalanan saya masih panjang, dan saya anggap apa yang berlaku sebagai pengajaran", katanya yang turut memiliki rangkaian perniagaan lain iaitu percetakan dan agensi pelancongan.
Menerima bimbingan daripada Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM) UPM, Zety bercita-cita mengembangkan perniagaannya ke luar negara dalam tempoh lima tahun lagi.
Biarpun sudah mampu memperolehi pendapatan lumayan hanya selepas dua tahun membabitkan diri dalam bidang perniagaan, pelajar tahun akhir Fakulti Ekologi Manusia itu bagaimanapun tidak leka dan berpendapat, pelajaran tetap perlu diutamakan.
"Kalau ada peluang melanjutkan pelajaran, ambil peluang itu. Jangan fikir tentang duit sahaja kerana ilmu yang ditimba ada nilai tersendiri.
"Apatah lagi dalam dunia serba kompetitif, termasuk dalam bidang perniagaan, ilmu membantu menambah keyakinan pelanggan kepada kita," tambahnya lagi.
Bercerita tentang program Protégé, Zety berkata ia satu inisiatif yang sangat dialu-alukan dari pihak kerajaan kerana sedikit sebanyak ia memberi pilihan kepada mahasiswa.
"Saya agak gementar untuk menghabiskan pelajaran kerana tidak pasti bagaimana situasi di luar sana. Sekarang saya selesa kerana adanya sokongan daripada pihak universiti, tetapi selepas ini macam mana?
"Jadi bagi seorang usahawan seperti saya, program ini buat saya sedikit yakin dan tahu ke mana nak dituju," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.