Isnin, 11 Mac 2019

Rantau kerusi saya, saya tidak akan lari, kata Tok Mat

Pemangku presiden Umno, Mohamad Hasan.

PETALING JAYA: Pemangku presiden Umno, Mohamad Hasan hari ini berkata, beliau tidak akan “melarikan diri” daripada mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau walaupun diingatkan tentang risiko yang dihadapinya jika bertanding di situ.

Dalam temu bual dengan FMT, Mohamad, yang bakal berdepan dengan calon PKR, Dr Streram Sinnasamy dalam pilihan raya kecil (PRK) pada 13 April depan berkata, Rantau adalah kampung halamannya. Beliau membesar dan bersekolah di situ.

“Orang Rantau mahukan saya. Saya tahu kalau menang pun tiada tambah nilai. Tapi ini tempat saya dan saya akan pertahankan.”

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu berkata, beliau mungkin bertanding kerusi Parlimen Rembau dalam pilihan raya umum akan datang, tetapi pada masa ini beliau akan mempertahankan kerusi yang diwakilinya sejak 2004 itu.
“Walaupun banyak orang kata risikonya tinggi, tetapi saya yakin peluang menang ada. Saya akan terus pertahankan kerusi ini sehingga pilihan raya umum ke-15,” katanya.

DUN Rantau mempunyai 20,926 pengundi, dengan 27% daripadanya pengundi India, 21% Cina dan bakinya 52% pengundi Melayu.

Pada pilihan raya umum 9 Mei tahun lepas, Mohamad memenangi kerusi tersebut tanpa bertanding selepas Streram, yang merupakan tokoh popular di kawasan itu, tidak dibenarkan menyerahkan borang pencalonan beliau pada hari penamaan calon.

Streram kemudiannya berjaya dalam permohonannya meminta Mahkamah Pilihan Raya membatalkan keputusan tersebut, sekali gus membuka jalan kepada PRK akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.