Isnin, 11 Mac 2019

Polis siasat tulisan ‘Bebaskan Korea’ di dinding kedutaan Korea Utara




Sebelum ini kedutaan Korea Utara menjadi tumpuan berikutan 
kemelut berkaitan kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara 
pada 2017. (Gambar Twitter Sumisha Naidu)
 
PETALING JAYA: Ketua Polis Daerah Brickfields Ruslan Khalid mengesahkan polis sedang menyiasat kejadian vandalisme yang berlaku di kedutaan Korea Utara di Bukit Damansara, malam tadi.


Ruslan berkata, siasatan mendapati 4 lelaki yang memakai topi serta penutup muka bertindak menconteng dengan cat dinding bahagian luar kedutaan tersebut dalam tulisan Korea bermaksud “bebaskan Korea” serta beberapa simbol lain yang belum ditafsirkan maksudnya secara sahih.

“Kejadian yang dimaksudkan berlaku pada jam lebih kurang 3 pagi di kedutaan Korea Utara di Bukit Damansara. Setakat ini suspek belum dikenal pasti.

“Siasatan sedang dijalankan dari semua sudut untuk mengenal pasti motif kejadian tersebut, termasuk tidak menolak kemungkinan penglibatan budak-budak nakal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ruslan memaklumkan, kes berkenaan diklasifikasikan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, iaitu khianat terhadap harta benda.

Kedutaan Korea Utara menjadi tumpuan berikutan kemelut berkaitan kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara pada 2017, sehingga menyebabkan Malaysia mengambil keputusan mengusir duta Korea Utara, Kang Chol dengan mengisytiharkannya sebagai “persona non grata”.

Hari ini, Malaysia menerima permohonan Indonesia supaya pendakwa menggugurkan pertuduhan terhadap wanita warganegaranya, Siti Aisyah, yang didakwa terlibat dalam pembunuhan tersebut.

Peguam Negara Tommy Thomas berkata, Menteri Undang-Undang Indonesia, Yasonna Laoly dalam sepucuk surat bertarikh 8 Mac memberitahu bahawa Siti Aisyah diperdaya dan tidak mengetahui sama sekali beliau dipergunakan sebagai alat perisik Korea Utara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.