Selasa, 5 Mac 2019

Pertanyaan jawab lisan parlimen dihadkan kepada 6 minit

MALAYSIAKINI

   

Yang di-Pertua Dewan Rakyat memutuskan sesi pertanyaan jawab lisan ditetapkan selama enam minit bagi setiap pertanyaan mulai mesyuarat ini.

Setiausaha Dewan Rakyat Roosme Hamzah berkata langkah itu diambil selaras dengan reformasi parlimen yang dirangka.

“Ini bagi membolehkan sebanyak mungkin pertanyaan lisan dijawab oleh pihak kementerian dalam tempoh sejam 30 minit mengikut Peraturan Mesyuarat 24(5) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Pemberitahuan mengenai penetapan masa pertanyaan jawab lisan telah dikeluarkan pada 4 Mac lalu,” katanya.

Sebelum ini, Dewan Rakyat hanya mendengar enam hingga tujuh soalan sahaja kerana sering disulam dengan pertengkaran.

Soalan yang tidak sempat disentuh akan dijawab secara bertulis.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah akan merasmikan istiadat pembukaan persidangan Dewan Rakyat Penggal Kedua, Majlis Parlimen Ke-14 pada 11 Mac ini pukul 10 pagi.

Pemberitahuan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua yang akan berlangsung selama 20 hari iaitu bermula 11 Mac sehingga 11 April ini telah dikeluarkan pada 8 Februari lepas.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.