Ahad, 3 Mac 2019

Perpaduan UMNO-PAS belum kukuh, perlu akrab lagi: Isma

Oleh Siti Fatimah Ishak

 PH kena terima sikap rakus DAP punca kekalahan di Semenyih



BANGI- Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, memberi petanda jelas bahawa perpaduan antara UMNO dan PAS telah menghasilkan kejayaan.

Peranan PAS diakui sangat besar dalam menentukan kejayaan calon BN, namun kerjasama kedua-dua parti ini masih lagi tidak kukuh dan perlu diakrabkan lagi, kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Haji Aminuddin Yahaya.

Sambil mengucapkan tahniah, beliau yang juga Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) mengingatkan, kemenangan BN bukan kerana hebatnya calon atau polisi parti itu, tetapi lebih kepada rakyat sudah tidak mahukan Pakatan Harapan (PH) yang gagal menunaikan janji.

“Ia lebih kepada sentimen bukan ‘substance’ BN. Maka, BN harus ingat sokongan ini bukan kekal, malah sangat rapuh dan bila-bila masa boleh bertukar jika sikap dan perangai sama seperti dahulu,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

BN menawan semula kerusi DUN Semenyih selepas calonnya, Zakaria Hanafi memenangi persaingan empat penjuru dengan majoriti 1,914 undi.

Zakaria, 58, meraih 19,780 undi untuk menewaskan calon PH Muhammad Aiman Zainali, 30, yang memperoleh 17,866 undi; Nik Aziz Afiq Abdul, 25, daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) (847 undi) dan calon bebas yang juga aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng, 56, (725 undi).

Mengulas lanjut beliau percaya sikap kerajaan PH, yang diterajui parti tamak haloba, DAP yang rakus dan sombong telah ‘memakan diri’ dengan kekalahan di Semenyih. 

Justeru, katanya, jika perpaduan Melayu dikekalkan, tidak mustahil BN dan PAS akan memerintah kembali, tetapi kali ini janganlah kerana sentimen, tetapi biarlah kerana sikap dan pemikiran wakil rakyat UMNO yang berubah.

“Kita tidak mahu orang Melayu rasa semakin terpinggir, agama Islam makin tertekan. Kita minta kerajaan perlu berwaspada, dalam nak menjaga hati orang Cina, jangan sekali-kali menggiris hati orang Melayu,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.