Sabtu, 9 Mac 2019

Peluang menang lebih mudah untuk BN di PRK Rantau

Datuk M Periasamy Penganalisis politik MIC
Peluang menang lebih mudah untuk BN di PRK Rantau
BN dijangka terus menguasai DUN Rantau. Lebih-lebih lagi dengan peralihan sokongan pengundi Melayu kepada BN akhir-akhir ini. - Gambar Astro AWANI


PADA pilihan raya umum ke-14 (PRU14), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengisytiharkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan, menang tanpa bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.27 Rantau.

Namun, calon PKR Dr S Streram merangkap Naib Ketua PKR Cabang Rembau tidak dibenarkan masuk dewan pencalonan kerana gagal memakai tag SPR, memfailkan petisyen untuk membatalkan pengisytiharan Mohamad Hasan sebagai pemenang kerusi DUN Rantau pada PRU14.

Mahkamah Tinggi Seremban yang mendengar hujahan kedua-dua pihak, membuat keputusan bahawa kemenangan calon BN di kerusi DUN tersebut pada PRU14 lalu adalah terbatal dan tidak sah.

Susulan itu, SPR telah menetapkan 30 Mac sebagai hari penamaan calon dan 13 April sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau.

DUN N.27 Rantau adalah antara empat DUN yang terletak dalam kawasan Parlimen P.131 Rembau.

Jumlah pemilih yang berdaftar bagi  kerusi DUN Rantau adalah 20,472 pengundi. Mengikut pecahan kaum, pengundi Melayu merupakan komposisi pengundi terbesar iaitu 51.75 peratus, diikuti kaum India, 27.53 peratus dan Cina, 18.81 peratus.

Memandangkan pengundi Melayu merupakan komposisi terbesar, maka, bolehlah dibuat kesimpulan bahawa pengundi Melayu mampu menentukan keputusan PRK Rantau.

Persoalannya, apakah calon BN mampu mengalahkan calon PH dalam PRK kali ini?

Keputusan PRU yang lepas  menunjukkan calon BN dan calon PKR yang bertanding di DUN Rantau masing-masing meningkatkan sokongannya  di kalangan pengundi Rantau.

Misalnya, calon BN yang memperolehi 8,031 undi pada PRU11 berjaya meningkatkan jumlah  undinya kepada 10,126 pada PRU13.

Begitu juga, calon PKR yang memperolehi 1,832 undi pada PRU11 mempertingkatkan jumlah undinya kepada 5,513 undi pada PRU13.

Dalam pada itu, peningkatan undi bagi calon PKR jelas membayangkan parti PKR beransur-ansur menembusi dan bertapak dalam kawasan Rantau.

Namun, memandangkan Rantau merupakan kubu kuat UMNO sejak beberapa tahun yang lepas, khususnya sejak Mohamad Hasan  yang umumnya dikenali sebagai ‘Tok Mat’, memasuki gelanggang politik, maka DUN Rantau menjadi hak milik BN.

Dengan itu, BN dijangka terus menguasai DUN Rantau. Lebih-lebih lagi dengan peralihan sokongan pengundi Melayu kepada BN akhir-akhir ini serta kemenangan berturut-turut BN pada PRK Cameron Highlands diikuti Semenyih.

Jentera sama, di bawah kepimpinan UMNO iaitu Mohamad Hasan selaku Timbalan Presiden UMNO akan membantu BN berjuang dengan lebih bersemangat  untuk  mempertahankan kerusi DUN Rantau.

Dalam pada itu, kenyataan pemimpin MIC dan MCA untuk membubarkan BN baru-baru ini tidak menjejaskan prestasi BN sendiri dalam PRK Rantau kelak.

Andaian itu dibuat berdasarkan keputusan PRU 12,13 dan 14  malah PRK-PRK yang lepas, di mana walaupun pengundi India dan Cina  mengalih sokongan mereka kepada calon PKR, calon BN yang mewakili UMNO masih menang dengan majoriti yang agak besar.

Misalnya, calon BN daripada MIC  yang bertanding kerusi DUN N.33 Sri Tanjung (Port Dickson) yang kalah sejak PRU12 akibat kesan kebangkitan HINDRAF dan kemudiannya gelombang perubahan.

Walaupun calon PKR dapat meningkatkan undinya daripada 1,832 (PRU11) kepada 3,956 (PRU12)  dan kepada 5,513 undi pada PRU13 kesan pergolakan politik tersebut, calon BN di yang bertanding kerusi Rantau masih mampu menang dengan gayanya dan mengalahkan calon PKR dengan memperolehi 7,739 undi (PRU12) dan 10,125 undi pada PRU13.

Jadi, pergolakan dalam BN, termasuk kenyataan pemimpin UMNO, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz hanya sebagai 'ribut dalam cawan' dan diandaikan  tidak akan  banyak menjejaskan prestasi calon BN pada PRK Rantau.

Memandangkan DUN Rantau tertelak  dalam Negeri Sembian  yang dikuasai kerajaan negeri Pakatan Harapan, maka ada pihak yang beranggapan bahawa calon PH mempunyai  kelebihan berbanding calon BN.

Namun, ramai juga beranggapan bahawa aura Tok Mat yang memikat hati sebahagian besar pengundi Rantau, merentasi kaum, sejak beliau bertanding  kerusi Rantau pada pertama kalinya  dalam PRU-11 dijangka membantu  BN memenangi  PRK Rantau dengan selesa.

Pada PRU 11, Tok Mat  menewaskan calon PKR, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard dengan majoriti 6,199 undi.

Seterusnya beliau mengekalkan rekod cemerlang  dengan menewaskan calon PKR, Aishah Lamsah, dua kali berturut-turut iaitu pada PRU12 dan PRU13, masing-masing dengan majoriti 4,613 undi dan 3,783 undi.

Rekod cemerlang tersebut memberi bayangan seterusnya membuatkan ramai beranggapan bahawa peluang bagi kemenangan calon BN pada PRK Rantau lebih mudah  berbanding dengan PRK Cameron Highlands atau Semenyih.




* Datuk M.Periasamy merupakan seorang penganalisis politik, budaya dan tamadun India.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.