Ahad, 31 Mac 2019

PASARAYA HARGA MURAH OLEH SULTAN JOHOR, CABARAN BUAT PH



Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilapor akan membuka sebuah pasaraya harga murah di negeri itu.

Pasaraya yang akan menjual barang keperluan harian pada harga murah itu diusahakan oleh baginda melalui kerjasama strategik dengan sebuah pasaraya besar yang sedia ada di Johor.

“Pasar raya ini memberi jaminan bahawa mereka boleh menjual barang pada kadar 10 peratus lebih rendah, pada masa sama turut memberi jaminan pada kualitinya.

“Ini akan memudahkan rakyat khususnya mereka yang berpendapatan rendah mendapatkan barang keperluan asas dan harian pada harga yang murah,” titah baginda dalam hantaran terbaru di laman sosial.

Langkah Sultan Johor ini tentu saja harus dipuji dan menunjukkan keprihatinan baginda terhadap rakyatnya.

Ia bukan saja sebagai usaha untuk menangani kos sara hidup rakyat, malah ia secara tidak langsung merupakan cabaran buat PH.

Ini kerana, dalam kempen-kempen sebelum PRU14 lalu, antara isu yang sering dimainkan oleh PH ialah untuk menangani kos sara hidup serta memberi keselesaan kepada rakyat menjalani kehidupan seharian lantaran BN ketika itu didakwa gagal berbuat demikian.

Bagaimanapun, setelah 10 bulan berlalu menjadi kerajaan, usaha memberi lebih keselesaan hidup kepada rakyat masih lagi belum menampakkan sebarang bayangnya serta dalam masa yang sama kenaikan harga barang keperluan harian terus mencekik dan mencanak setiap hari.

Di mana-mana ketika ini rungutan rakyat ialah berkaitan kos sara hidup yang semakin tinggi serta kegagalan PH menunaikan janji sebagaimana yang mereka laungkan sebelumnya.

Sememangnya tugas memberi keselesaan hidup kepada rakyat ialah tanggungjawab kerajaan yang sedang berkuasa.

Dengan itu, PH bukan saja harus berasa malu dengan usaha Sultan Johor ini, malah sepatutnya tidak berlengah lagi melaksanakan sesuatu yang berkesan dan bermanfaat demi keselesaan hidup rakyat.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.