Rabu, 6 Mac 2019

Nik Nazmi: Perkahwinan PAS-Umno berpaling dari perjuangan tokoh parti

MALAYSIAKINI

   

Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad menyifatkan perkahwinan Umno dan PAS sebagai berpaling dari perjuangan tokoh kedua-dua parti masing-masing.

“Tindakan pemimpin Umno dan PAS hari ini, serta apa yang dipanggil perkahwinan, bermakna kedua-dua pihak telah berpaling dari semangat serta warisan tokoh-tokoh lama mereka,” kata Nik Nazmi dalam kenyataannya, hari ini.

Ahli parlimen Setiawangsa itu memetik nama 'Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Abdul Razak, Dr Burhanuddin Helmy, Fadzil Noor dan Nik Abdul Aziz Mat sebagai pemimpin yang bekerjasama dengan masyarakat berbilang kaum dan mempunyai taraf integriti.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan pengumuman Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan bahawa PAS dan Umno sudah rasmi ‘bersanding’ selepas dua jam bermusyawarah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.

Nik Nazmi berkata dengan pengumuman semalam akhirnya Mohamad mengesahkan hubungan antara PAS dan Umno walaupun bertahun-tahun menafikannya.

Kata Nik Nazmi, walaupun Mohamad menggambarkan kedua-dua parti itu baru berkahwin, Umno dan PAS telah lama bersama iaitu sejak pilihan raya kecil (PRK) Seri Setia, Ogos tahun lalu.

Tanpa menyebut secara khusus, Nik Nazmi juga menyorot dakwaan penyaluran dana RM90 juta oleh Umno kepada PAS yang menurutnya menunjukkan hubungan antara kedua-dua parti itu "bukan sekadar cinta semata-mata".

“Tetapi setelah didedahkan perjanjian kepimpinan PAS dengan Umno membabitkan pampasan kewangan, nampaknya perkahwinan ini bukanlah kerana cinta semata-mata, tetapi perancangan komersial yang melibatkan pembayar dan penerima yang melakukannya dengan rela hati.

“Ia tidak jelas apa manfaat, jika ada, percaturan baru akan membawa kepada masyarakat Melayu yang lebih luas memandangkan kedua-dua pihak baru-baru ini seolah-olah lebih peduli dengan bersusah-payah untuk kuasa politik, cuba membela dosa terdahulu dan cuba mencetuskan perasaan perkauman.

“Kedua-dua pihak hanya menyediakan retorik tanpa sebarang alternatif yang jelas, dan telah menjadi lebih seperti parti politik kenegerian, dan bukannya bersifat nasional,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.