Mengikut kata sahibul hikayat maka Pakatan Harapan (PH) pun kalahlah
dalam pilihan raya kecil Semenyih. Maka anak-anak muda pun berkumpul
dan menari-nari. Bertandak dan berjoget. Sambil berjoget sambil
membuat pantun sebagai kenang-kenangan zaman berzaman.
Siakap senohong
ikan kelah ikan tengeh;
selalu cakap bohong
jawabnya kalah di Semenyih
ikan kelah ikan tengeh;
selalu cakap bohong
jawabnya kalah di Semenyih
Maka seantero bumi Pakatan Harapan pun sibuk mencari sebab musabab
kekalahan. Malah sosok seperti YB DAP Ronnie Liu yang jarang berfikir
panjang pun mengeluarkan pendapat hingga dilapor oleh portal berita.
Kelihatan semua ini pencarian sebab musabab rambang. Segala satu
macam kisah yang memperkukuh sebab musabab pun dikumpul. Ada yang
menyakitkan hati dan ada yang menggembirakan.
Dari segala sudut kita dapat mendengar sebab musabab kenapa Pakatan
Harapan kalah di Semenyih. Dari segi politik. ekonomi, sosial
termasuk kekalahan dari sudut seks.
Dari sudut seks? Ini kes apa ini? Sabar dulu baca tulisan ini sampai
habis.
Saya sendiri tanpa membaca akhbar. Tanpa memiliki telefon bijak
penyampai berita WhatApps.
Tanpa menonton TV. Saya cuma menerima
beberapa kerat SMS. Maklumat pesanan ringkas ini entah dari
sapa-sapa. Entah hantu kopek mana yang ingin menyampaikan buah
fikiran dan kekecewaan mereka kepada saya.
Semua maklumat ini saya kumpulkan. Kemudian saya bersembang dan
berlabun dengan kawan-kawan yang menyokong Pakatan Harapan. Ada
kawan bekas aktivis yang dah jadi pegawai menteri.
Ada minah yang
kini bekerja dengan kerajaan negeri. Ada aktivis yang tak tahu apa
nak diaktiviskan lagi kerana sudah ada kerajaan.
Kepada saya, labun mereka ini menjadi sumber maklumat kelas A.
Hakikatnya saya tahu apa yang terjadi. Jangan ingat kerana saya tak
ada TV maka saya tidak tahu apa berita terkini. Jangan ingat saya
tidak memiliki telefon pintar maka saya jadi Lokman Adam.
Saya mendengar pelbagai surah. Saya mendengar dan membuka telinga.
Pelbagai bentuk dan rupa tok perawi datang. Semua mengakui membawa
khabar-khabar sahih.
Dari surah dan khabar ini saya membuat rumusan tentang Semenyih.
Saya yakin kes Waythamoorthy, si mamat yang cuba menjadi wira
perjuangan India ini mempengaruhi keputusan di Semenyih. Si wira
ini sedang senyap tak bersuara lagi tapi bahang celopar mulutnya
belum selesai. Nama Adib masih segar di telinga.
Keyakinan saya ini diperkukuhkan dengan adanya satu tunjuk perasaan
yang kecil selepas sembahyang Jumaat, sehari sebelum membuang undi.
Demo kecil ini bukan kes kuil. Ini kes hina nabi. Tapi rentak dan
bunyinya sama. Tukang pukul gedang dan tetawak pun dari pembacaan
saya datang dari kumpulan boria yang sama. Apa isi dan bentuk nabi
dihina - wallahualam bisawab.
Saya juga menerima khabar bahawa ramai anak muda menyampah dengan
Pakatan Harapan kerana kes ganja. Ops, kes rokok! Di Semenyih, anak
muda memprotes hak mereka untuk merosakkan paru-paru mereka. Anak
muda memprotes hak mereka untuk menjadi bodoh. Hak-hak asasi mereka
ini telah diganyang oleh menteri kesihatan Pakatan Harapan.
Anak muda ajar mereka di Semenyih.
Menurut surah anak-anak muda, cara dan bunyi suara menteri kesihatan
menjawab kes rokok dianggap kurang sopan, angkuh, sombong dan
hampir-hampir menjelma menjadi Lokman Adam.
Sebenarnya kes rokok dan kes kuil ini sama. Dua pak menteri ini
memang berniat baik. Tidak ada niat jahat dalam benak mereka. Mereka
mahu menjadi wira rakyat. Mereka nak buktikan kepada para pengundi
bahawa mereka sedang melakukan sesuatu. Nak membuktikan bahawa
kementerian mereka menjalankan tugas.
Tetapi pak menteri dua ekor ini terlupa tentang konsep demokrasi.
Tentang konsep berbincang. Tentang mendengar pandangan orang lain
dalam usaha, niat dan cita cita mereka untuk membawa kebaikan dan
kesejahteraan umat.
Yakinlah sejarah telah dan masih membuktikan bagaimana Presiden Bush
dari Rumah Putih datang membawa projek kebebasan dan demokrasi untuk
warga Iraq. Hasilnya apa? Gua tak mahu komen. Lu fikir sendirilah.
Hang Jebat ada beri ingatan, buat baik berpada-pada buat jahat jangan
sekali. Hishamuddin Rais ada berkata, buat baik tak ada salah tapi
bincang terlebih dulu. Hang bukan 'terer' sangat. Amin.
Dari Pahang saya membaca kenyataan dari seorang gedebe PKR yang
memberi sebab kenapa kalah.
Mengikut gedebe ini kekalahan disebabkan
Pakatan Harapan telah hilang roh dan jiwa. Bukan lagi berjiwa rakyat.
Ini juga sebab yang betul. Kecil pinggan tose dulang tembaga saya
hulurkan kepada gedebe ini.
Dalam masa sembilan bulan ini kelihatan
Pakatan Harapan, lebih tepat lagi kelakuan dan perangai para gedebe
dan menteri, cukup memualkan.
Umum telah merasakan bahawa gedebe dan menteri ini merasa bahawa
kemenangan 9 Mei dahulu adalah kemenangan mereka.
Mereka telah mabuk ganja. Ops, maaf, mereka telah mabuk kuasa! Mereka
lupa yang menjatuhkan Najib dan Rosmah ialah orang ramai. Undi dan
sokongan orang ramailah yang membolehkan Dr Dzul dan Waythamoorthy
menjadi menteri.
Perkara ini wajib ditanamkan ke dalam benak mereka yang semakin tebal
seperti kepala Lokman Adam.
Dari Nogori kita terdengar suara seorang mamat veteran. Si mamat ini
halus bahasanya. Cakapnya bersopan. Yang keluar dari mulutnya
pastilah berbudi dan berbahasa.
Rais Yatim membuka surah tentang suara dan perangai DAP. Ini berkait
rapat dengan bunyi suara dan komentar politik dua beranak dari
keluarga Lim. Dalam bahasa Melayu, dalam istilah Rais Yatim, parti
Cina DAP ini wajib dilunakkan.
Zaman saya kanak-kanak dulu selalu saya terdengar kisah dan teladan
tentang mulut anak-anak kena lada kerana celopar. Sebenarnya bukan
terkena lada tapi sengaja disapu lada padi. Nak beri pengajaran.
Dalam kuliah politik hari ini mulut wajib dilada hanyalah satu
konsep. Mustahil Mahathir akan melada mulut Guan Eng dan mulut Kit
Siang atau mulut Ronnie Liu.
Saya tak nak komen tentang suara dari 'menteri buluh'. Tak baik.
Faham fahamlah maknanya. Sekali sekali perlu juga membuluh. Nak tahu
maknanya ayat saya ini sila tanya Rais Yatim.
Dalam fikrah saya apa saja hujah yang kita dengar minggu ini tentang
sebab musabab Pakatan kalah di Semenyih adalah sahih. Walaupun
bunyinya bodoh. Tapi dalam suasana sekarang Pakatan harapan wajib
menerima- yang baik atau yang busuk.
Mesti ada yang bersuara - Hishamuddin Rais ini kaki complaint.
Pandai complaint. Tapi tidak memberi jalan keluar. Sabar dulu
beb. Saya memiliki jalan keluar yang cekap, pantas dan tuntas.
Kita dengar Pakatan Harapan tidak tunai janji. Satu Semenyih heboh
dengan labun janji Pakatan Harapan. Cakap-cakap tak tunai janji ini
memang tepat. Janji wajib ditepati bukan dicapati.
Justeru jalan keluar yang cepat dari suasana muram ini dan sebelum
bertempur di Rantau ialah menunaikan janji. Tunaikan dengan cepat dan
pantas.
Mustahil kita lupa dengan janji kita. Saya tidak akan lupa bermalam
malam di pentas ceramah melaungkan janji yang akan dilakukan apabila
Pakatan Harapan menubuhkan kerajaan baru.
“Bila kita tubuhkan kerajaan baru, Najib dan Rosmah akan di
tangkap, mereka masuk penjara.” - Petikan ucapan Hishamuddin Rais
“Tun, sila angkat pen. Lihat Mahathir masih boleh angkat pen. Pen
ini untuk tandatangan Najib dan Rosmah masuk penjara.” - Petikan
ucapan Mat Sabu
Ingat. Ingat. Ingat. Mari kita bersama-sama melawan lupa.
Bukankah kita telah berkempen ke hulu ke hilir berjanji untuk
menangkap Najib dan Rosmah.
Bukankah dari Kangar hingga ke Gelang
Patah hingga ke Tanjung Piai hingga ke Gua Musang hingga ke Kota
Belud hingga ke Kuching kita telah berjanji.
Kita berjanji akan menangkap pencuri, penyamun, perompak, perasuah
dan penyalah guna kuasa.
Mana janji itu? Azeez Tabung Haji. Isa Samad. Tengku Adnan. Nazri
bin Aziz. Azalina. Sahrizat.
Zahid Hamidi. Mat Hasan. Khairy
Jamaluddin. Hishamuddin Hussein. Apa jadi?
Dunia mengetahui bahawa si Najib dikaitkan dengan kes pembunuhan. Ini
bukan lebong dari Hishamuddin Rais. Ini laporan TV Australia. Khalas.
Hei, bro
Muhyiddin
Saya difahamkan kaki busuk, orang jahat di belakang tabir sudah
dibenarkan keluar negara. Apakah ini betul? Jika betul kita mahu
tanya Bro Muhyiddin.
“Hei bro, apa sudah jadi? Rusuk siapa telah patah?”
Hakikatnya, orang ramai mahu semua orang jahat masuk penjara. Inilah
janji yang dinanti-nanti oleh orang ramai. Janji ini wajib
dituntaskan dengan segera.
Lim Guan Eng tidak perlu pergi ke China untuk pinjam duit untuk
menunaikan janji ini. Azmin Ali tak perlu pinjam duit Bank Dunia atau
International Monetary Fund untuk memenjarakan Najib dan Rosmah.
Kita tidak perlu tunggu Jabatan Penjara Malaysia menjadikan quinoa
pengganti nasi.
Masukkan orang-orang jahat ke dalam penjara sekarang. Sudah hampir
satu tahun.
Justeru wajib disedari bahawa orang ramai kecewa kenapa Najib dan
Rosmah tidak memakai baju kuning - orang kena tuduh- ketika
ditahan. Kenapa Najib dan Rosmah tidak digari.
Malah saya dengar si Najib ini enggan masuk ke kandang orang salah
ketika dibicarakan di Mahkamah Jalan Duta.
Woit, si Najib ini siapa? Kenapa si Najib berani berbuat demikian?
Hadiahkan Najib satu penampar untuk sedarkan dia bahawa United
Malays National Organisation akan dipadamkan.
Ops, hampir terlupa, kekalahan Pakatan Harapan di Semenyih dari sudut
seks. Kisah-kisah seks ini dimunculkan kembali akibat kemarahan
parti Islam PAS terhadap Anwar Ibrahim. Parti Islam marah kerana
Anwar membocorkan maklumat yang mendakwa bagaimana parti Islam ini
membayar untuk menyelesaikan kes dengan Sarawak Report di mahkamah.
Seorang gedebe pemuda parti Islam ini telah membuat surah untuk
membuktikan bahawa kekalahan Pakatan di Semenyih ini adalah akibat
pengundi parti Islam PAS benci kepada Anwar Ibrahim. Amin.
Siakap senohong
dalam belanga kena tumis;
buat janji bohong
mulut ternganga gigi tersengeh.
dalam belanga kena tumis;
buat janji bohong
mulut ternganga gigi tersengeh.
*HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.