Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berkata istilah 'Taliban' menjadi hangat kerana kenyataan Timbalan Speaker Nga Kor Ming sendiri.
Khairy berkata demikian selepas Nga menggesa bekas ketua Pemuda Umno itu memohon maaf kerana menggunakan istilah itu untuk merujuknya dalam Dewan Rakyat hari ini.
"Nga harus sedar, perkataan ‘Taliban’ menjadi hangat kerana ianya dimulakan oleh beliau sendiri.
"[...] Walaupun kenyataan Nga dibuat di luar Dewan Rakyat, namun jawatan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat adalah jawatan rasmi beliau bagi setiap masa selagi mana beliau memegang portfolio tersebut.
"Apa-apa kenyataan yang dibuat beliau merupakan refleksi jawatan yang disandangnya," katanya dalam kenyataan yang turut dikongsi di Facebook hari ini.
Terdahulu dalam sesi soal jawab di Dewan
Rakyat, Khairy menggunakan istilah Taliban merujuk Nga selepas diminta
menjelaskan soalan yang ditujukannya buat Menteri Kewangan Lim Guan Eng
ketik menyentuh soal Bantuan Sara Hidup (BSH).
Khairy setelah itu menarik semula perkataan berkenaan setelah diminta berbuat demikian.
Susulan itu, Nga melalui kenyataan media menyifatkan Khairy sebagai biadab dan menggesa beliau memohon maaf kepada parlimen.
Kata Khairy, Nga bersikap tidak adil dalam mempengerusikan Dewan Rakyat.
"Contohnya bagaimana beliau membenarkan perkataan ‘bodoh’ yang merupakan ‘unparliamentary word’ digunakan oleh Ahli Parlimen Tanjong pada hari Selasa (26 Mac 2019) lalu kononnya perkataan tersebut tidak ditujukan kepada mana-mana ahli Dewan.
"Sedangkan di bawah Peraturan Mesyuarat 36(4), adalah menjadi kesalahan bagi Ahli-ahli Dewan yang menggunakan bahasa kurang sopan (biadap) atau membuat kenyataan yang seksis. Tanpa perlu ditujukan kepada sesiapa sekalipun, ianya tetap salah," katanya.
Selain itu, Khairy turut mendakwa Nga sebagai membenarkan subjudis terhadap pertimbangan mahkamah.
"Nga juga sudah beberapa kali menghalalkan perkara yang dalam pertimbangan mahkamah dibangkitkan di dalam Dewan yang jelas bertentangan dengan Peraturan Mesyuarat 36(2) seperti yang banyak kali disebut oleh Ahli Parlimen Jelutong.
"Jelas sekali, Nga telah membenarkan subjudis terhadap pertimbangan mahkamah. Ini bukan sahaja mencemar kemuliaan institusi Parlimen (legislature), malah telah turut masuk campur dan mencemarkan institusi kehakiman negara (judiciary)," katanya.
Khairy mendakwa banyak kenyataan, tindakan serta keputusan yang telah dibuat Nga "mencemarkan" kemuliaan jawatan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat serta institusi Dewan Rakyat.
"Malah lebih teruk boleh mengganggu-gugat keharmonian rakyat di negara ini kerana cuba menyemai rasa sangsi serta membangkitkan rasa marah sebilangan rakyat di negara ini," kata Khairy.
Istilah 'Taliban' sebelum ini turut mengundang kontroversi selepas ia digunakan oleh Nga apabila berkata bahawa negara ini akan menjadi "negara Taliban" sekiranya pakatan Umno-PAS berkuasa.
Nga mempertahankan kenyataannya dan enggan memohon maaf.
Susulan itu, Setiausaha Agung Umno Annuar Musa berkata beliau telah mengarahkan sebuah firma guaman untuk mengambil langkah berhubung kenyataan ahli parlimen Teluk Intan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.