Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng hari ini mendedahkan terdapat 15 anggota polis yang didakwa terlibat dengan rasuah dan tindakan belum diambil meski laporan sudah dibuat sejak tahun lalu.
Susulan itu, anggota parlimen DAP itu membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kuala Lumpur hari ini menggesa siasatan kemungkinan salah laku dalam jabatan polis.
Dalam sidang media di luar bangunan SPRM, Lim berkata, dari 15 anggota polis itu, terdapat tiga kes melibatkan penggunaan kuasa sewenangnya dan rasuah.
Bagi kes pertama melibatkan seorang gadis yang didakwa dirogol polis di dalam tandas balai polis di Sarikei Oktober lalu, Lim berkata sehingga kini tiada tindakan mahkamah diambil sehingga kini.
"Di Sarikei, saya dapat makluman rakan sekerja suspek (yang juga anggota polis) cuba memujuk keluarga mangsa membatalkan kes dengan alasan suspek itu sudah nak bersara, nak bagi satu peluang," katanya.
Bagi kes kedua, Lim berkata, melibatkan penggantungan tujuh anggota polis berhubung RM7.9 juta yang hilang selepas kondominium seorang pelabur digeledah jabatan narkotik di Kuala Lumpur Sept tahun lalu, yang juga belum ada tindakan mahkamah.
Lim mendakwa kes berkenaan melibatkan pegawai kanan wanita, dan menurut mangsa, sehingga kini tiada perkembangan berhubung siasatan kes itu.
"Soalan saya adakah suspek polis ini, (termasuk) perogol dan perompak-perompak ini sekarang masih pegang pistol di luar sana dan jalankan kesalahan jenayah sedemikian seperti rompak dan rogol?
"Ataupun siasatan polis dah putuskan mereka tidak bersalah? Laporan polis mangsa adalah palsu? Saya tidak tahu.
"Minta SPRM siasat dan memulangkan kisah sebenar siapa yang salah," katanya.
Sementara itu, bagi kes ketiga, Lim mendakwa pegawai polis perlu membayar kepada seseorang di Bukit Aman jika mahu naik pangkat.
"Ini semua dakwaan, banyak yang saya terima tapi saya tidak percaya, namun masih banyak yang terus datang kepada saya dan berkata mereka perlu bayar untuk dinaikkan pangkat.
"Ini saya pun saya tak boleh buat siasatan, saya tak boleh masuk Bukit Aman sewenang-wenangnya, harap SPRM akan menyiasat," katanya.
Lim berkata, dakwaan berkenaan datang daripada pelbagai sumber termasuk orang awam dan anggota polis sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.