Berikutan interbiu Nurul Izzah Anwar dengan sebuah media Singapura yang mengkritik Tun Mahathir Mohamad, beliau kini menjadi sasaran kecaman daripada para pentaksub dan pengampu Perdana Menteri.
Mereka yang berbuat demikian bukan saja daripada Bersatu, tetapi juga daripada PKR sendiri.
Antara lain Nurul menyebut tempoh hampir setahun PH memegang kuasa sebagai kerajaan adalah “sangat mencabar dan huru-hara. Saya belajar banyak perkara, tapi saya juga rasa saya sudah patah hati”.
“Bekerja dengan bekas diktator yang menyebabkan banyak kerosakan, bukan saja pada kehidupan keluarga kami, tapi juga sistem (pentadbiran negara), ia bukanlah sesuatu yang mudah,” tambah Ahli Parlimen Pernatang Pauh itu lagi.
Susulan itu, Nurul izzah turut mengumumkan beliau tidak mahu bertanding lagi dalam pilihanraya akan datang nanti.
Kecaman dan kutukan daripada pengampu dan pentaksub Tun Mahathir tentu saja boleh difahami kerana mereka ini pantang terdengar sebarang kritikan yang tidak menyenangkan tentang idola mereka itu.
Sama seperti pentaksub dan pengampu Najib Razak sebelum ini, lagak dan gaya mereka tiada bezanya sama sekali.
Bagaimanapun dalam PKR, yang turut mengkritik Nurul Izzah ialah Azmin Ali yang menyifatkan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu seperti seorang bayi yang suka merengek.
Kata Azmin lagi, jika tak tahan dengan kepanasan, keluarlah daripada dapur.
Walaupun tidak menyebut nama, jelas Azmin menujukan ciapannya di Twitter itu kepada Nurul Izzah yang lantas menyarankan lebih baik anak sulung Anwar itu berundur jika tidak tahan dengan getirnya sebuah perjuangan.
Apakah dalam hal ini Nurul Izzah seperti bayi yang suka merengek?
Jika diperhalusi apa yang diperkatakan oleh Nurul Izzah itu tiada apa pun salahnya, cuma ia hanyalah luahan hati beliau bersandarkan sikap jujur dan tidak berpura-puranya tentang apa yang berlaku dalam negara ini sejak dipimpin oleh Tun Mahathir.
Secara mudahnya, memang bekerja dengan Tun Mahathir yang berwatak berbeza antara sebelum beroleh kuasa dengan setelah kuasa ada dalam tangannya, bukan saja tidak mudah, bahkan sangat-sangat sukar bagi mereka yang lurus dan jujur seperti Nurul Izzah.
Tun Mahathir jelas ada agendanya sendiri dalam memegang kuasa kali kedua ini dan bukan mahu sangat mengangkat agenda rakyat yang menjadi teras perjuangan PH selama ini.
Lantaran itu, apakah salahnya Nurul Izzah bersikap jujur, berani, berterus-terang dan tidak berpura-pura dalam hidupnya?
Bukankah Tun Mahathir juga pernah menulis surat mengkritik Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dan semua Perdana Menteri lain seperti Tun Abdullah Badawi dan Najib yang tidak dipersetujuinya?
Yang teruk dalam hal ini ialah Azmin sendiri yang sebelumnya bersama-sama mengangkat reformasi, tetapi kini telah bertukar menjadi watak pengampu serta pembodek kepada Tun Mahathir.
Beliau tidak saja mengampu dan membodek dalam perlakuannya sehari-hari sejak bergelar Menteri Hal Ehwal Ekonomi, bahkan ketika menunaikan umrah dan di depan Kaabah pun beliau turut mendoakan kesihatan dan panjang umur Tun Mahathir yang dimuatkan dalam Twitternya.
Jika bukan untuk membodek dan mengampu, tidak bolehkah Azmin berdoa saja secara diam-diam saja tanpa memberitahu perlakuannya itu melalui laman sosial?
Tidak cukup dengan itu, ketika melawat Kedah baru-baru ini dan berkesempatan berkunjung ke Pekan Rabu, apa yang dicari Azmin ialah kedai songkok yang biasa dikunjungi oleh Tun Mahathir.
Beliau dilaporkan sangat mengkagumi dan tertarik dengan songkok yang selama ini kerap dipakai oleh Tun Mahathir.
Sejak bilakah Azmin pandai berperangai mengampu sehingga ke peringkat seperti ini?
Jika beliau masih Menteri Besar Selangor ketika ini, adakah beliau masih mengampu dan membodek Tun Mahathir seperti yang dilakukannya sekarang?
Apa pun, bersikap jujur dan berterus serta tidak hipokrit seperti Nurul Izzah adalah lebih mulia berbanding tiba-tiba jadi pengampu dan pembodek demi kuasa seperti Azmin.
Kiranya ada masa kelapangan, cuba Azmin tonton kembali video-video lama ucapannya berkenaan kecamannya terhadap pembodek dan pengampu dalam UMNO sebelum ini, apakah bezanya beliau sekarang ini dengan mereka itu?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.