Isnin, 11 Mac 2019

Lihatlah 4 negeri PAS dan Umno, kata Nasrudin pada DAP

MALAYSIAKINI

   

Untuk membuktikan bahawa PAS dan Umno tidak menzalimi mana-mana bangsa, Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan mengajak pemimpin DAP melihat sendiri bagaimana kedua-dua parti itu mentadbir negeri.

Kata Nasrudin, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming boleh datang ke Kelantan, Terengganu, Perlis dan Pahang untuk melihat sendiri bagaimana kerajaan negeri tersebut diuruskan.

Untuk rekod Kelantan dan Terengganu diperintah oleh PAS manakala dua yang lain kini ditadbir oleh Umno. Suatu ketika dulu PAS menjadikan Kelantan dan Terengganu sebagai model untuk menunjukkan keberkesanan pentadbiran mereka.

Kata Nasrudin PAS dan Umno mengadakan kerjasama untuk menyatu-padukan orang Islam di Malaysia tanpa menzalimi bangsa atau penganut agama lain.

Bekas anggota parlimen Temerloh itu menambah hak penganut agama dan bangsa lain ada diperuntukkan dalam perlembagaan negara.

"Asas kerukunan negara mesti dipelihara supaya negara terus membangun dengan stabil, aman dan harmoni," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 6 Mac lalu Lim mendakwa kerjasama rasmi PAS dan Umno dibuat dengan menyasarkan masyarakat bukan Islam di negara ini.

Kata Lim kerjasama kedua-dua parti itu semasa kempen PRK Cameron Highlands dan Semenyih menyaksikan mereka membuat kenyataan "ekstremis".

Beliau turut mendakwa PAS dan Umno melaga-lagakan orang Melayu dengan kaum lain.

Nga pula dilaporkan media sebagai berkata keadaan negara boleh menjadi seperti Afghanistan yang ditadbir Taliban hasil hubungan rasmi kedua-dua parti berkenaan.

Kata Nasrudin pemimpin DAP terbukti menimbulkan api permusuhan kaum dan agama di negara ini dengan kenyataan tersebut.

"PAS mengajak seluruh rakyat melihat sikap sebenar DAP yang diselubungi amarah, dendam dan benci terhadap penyatuan ummah sehingga sanggup melabelkan dengan pelbagai konotasi negatif untuk menakutkan rakyat pelbagai kaum di negara ini," katanya.

Menurut Nasrudin Umno dan PAS bersetuju bekerjasama untuk melindungi kepentingan umat Islam selepas PRU ke-14 lalu.

Katanya PAS juga tidak pernah menzalimi mana-mana bangsa semasa menjadi kerajaan.

"Ketika PAS berada dalam kerajaan Selangor pada 2008 hingga 2018, PAS tidak sekali-kali menzalimi kepentingan agama dan kaum lain," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.