Ahad, 3 Mac 2019

Laporan: Jemaah haji, umrah Malaysia palsukan rekod vaksin

MALAYSIAKINI

   
Beberapa rakyat Malaysia dalam perjalanan ke Makkah untuk menunaikan haji atau umrah didakwa memalsukan rekod perubatan untuk melepasi peraturan vaksin Arab Saudi.

Singapore Sunday Times melaporkan, rakyat Malaysia berkenaan yang dikatakan bersepakat dengan doktor dan agensi pelancongan, merupakan sebahagian daripada gerakan antivaksin dalam dan luar negara.

"Saya dan keluarga saya menunaikan umrah dua tahun lalu tanpa mengambil vaksin meningokokus.
"Agensi pelancongan yang menguruskannya dengan mendapatkan tandatangan doktor dalam buku rekod kesihatan kami.

"Saya diberitahu bahawa mereka (syarikat itu) juga menguruskan jemaah haji yang tidak mahu mengambil vaksin," kata Muhammad Quddus, ahli perniagaan 43 tahun, seperti dipetik dalam laporan itu.

Pegawai eksekutif firma guaman, Maimunah Ishak, 45, pula mendakwa dia pernah menggunakan perkhidmatan pihak ketiga buat keluarganya dua tahun lalu.

"Masalah ketika itu adalah untuk mendapatkan tandatangan (doktor) pada kad vaksin kami.

"Selepas berbulan cari, kami akhirnya jumpa seorang ustaz, yang menguruskan agensi pelancongan, yang mahu menguruskannya untuk kami dengan bayaran RM500 seorang," katanya.

Arab Saudi mewajibkan agar jemaah mengambil vaksin meningitis sebelum visa diluluskan.

Semua jemaah Malaysia perlu melalui Tabung Haji untuk menunaikan haji, dengan kerajaan Arab Saudi menetapkan kuota 30,000 jemaah dari negara ini setiap tahun.

Menurut Straits Times, lebih 200,000 rakyat Malaysia mengunjungi Makkah untuk menunaikan umrah.

Laporan itu turut memetik Pengurus Besar Kanan Lembaga Tabung Haji, Syed Saleh Syed Abdul Rahman, yang mengesahkan bahawa semua jemaah perlu melalui pemeriksaan kesihatan dan mengambil vaksin.

"Buku rekod ini disahkan secara sistematik oleh Kementerian Kesihatan dan disemak oleh Tabung Haji. Tiada pengecualian," katanya.

Peningkatan kes jangkitan penyakit campak dan difteria menimbulkan kebimbangan berhubung kesan gerakan antivaksin.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad baru-baru ini mengumumkan kerajaan sedang meneliti untuk mewajibkan imunisasi untuk semua kanak-kanak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof pula menggesa semua pihak berdebat tentang status halal vaksin yang digunakan di dalam negara ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.