Isnin, 4 Mac 2019

Hina Nabi: Kalau Mujahid gagal bertindak baik letak jawatan

siti hafidah 

UMMAH yakin wujud usaha terancang cetus ketegangan kaum, agama


KUALA LUMPUR – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) mencabar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa untuk meletak jawatan sekiranya tidak mampu untuk menjaga agama Islam daripada dihina.

“Anda tidak layak memegang jawatan ini sekiranya anda tidak mampu menjaga kedudukan agama Islam yang dijamin dalam Perlembagaan.

“Sila letak jawatan kalau anda tidak mampu untuk menjaga kemuliaan agama Islam yang kami cintai,” tegas Timbalan Presiden UMMAH, Kamaruzaman Mohamad.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini hari ini terhadap beberapa individu yang didapati membuat penghinaan kepada agama Islam serta Nabi Muhammad ﷺ.

Semalam, pemilik akaun Twitter menggunakan nama ‘Alvin Chow’ menghina bangsa Melayu dan mencaci Nabi Muhammad ﷺ dengan mengeluarkan pelbagai kata kesat.

Kamaruzaman berkata, isu berlaku pada hari ini seolah-olah wujud secara terancang bagi menimbulkan ketegangan antara kaum.

Beliau turut yakin akan ada pihak yang mengaut keuntungan daripada suasana tegang yang berlaku di antara kaum di negara ini.

“Ini bukan sahaja membangkitkan isu sensitif tetapi penghinaan luar biasa terhadap pemimpin yang dimuliakan penganut agama Islam. Dan saya telah beri amaran kepada menteri menjaga agama, Mujahid supaya mengambil tindakan sewajarnya untuk mengelakkan kejadian seperti ini daripada berulang.

“Sebaliknya, apa yang berlaku, beliau lebih menekan orang yang bangkit membela maruah Nabi Muhammad ﷺ berbanding orang yang menghina Nabi Muhammad ﷺ,” katanya.

Pada masa sama, UMMAH menggesa supaya pihak pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan segera berhubung perkara itu sebelum menjadi lebih parah dengan berlakunya ketegangan kaum di dalam negara ini.

“Saya bimbang sekiranya aktiviti (penghinaan terhadap Nabi Muhammad ﷺ) tidak dikawal, masyarakat akan ambil tindakan sendiri sekali gus menjadikan keadaan menjadi lebih rumit,” kata Kamalruzaman.

Terdahulu, sekurang-kurangnya lima laporan polis dibuat UMMAH bersama lima NGO lain.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.