Ahad, 31 Mac 2019

Premis tawar GRO persis ratu, tak pernah diserbu

Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Norizuan Samsuddin
 

PERSIS pertunjukan fesyen dan pertandingan ratu cantik.

Itu gambaran lima premis pusat hiburan di Scott Garden, Jalan Klang Lama di Kuala Lumpur yang menyediakan pentas untuk wanita pelayan pelanggan (GRO) melakukan ‘catwalk’ sebelum dipilih lelaki hidung belang.

Pelanggan yang berminat dengan ‘model’ di atas pentas itu disyaratkan membeli kalungan bunga berharga RM40 hingga RM3,000 sebelum mendampingi wanita terbabit.


Tinjauan Harian Metro mendapati, modus operandi di semua pusat hiburan berkenaan kini menjadi kegilaan lelaki hidung belang.

Model yang menerima kalungan bunga berharga RM300 dan ke atas boleh dibawa pulang bergantung kepada persetujuan bersama.

Tinjauan mendapati setiap premis menyediakan kira-kira 70 model dari Thailand yang berpakaian seksi.

Setiap model diwajibkan melakukan ‘catwalk’ di atas pentas sebelum dipilih pelanggan dengan membeli kalungan bunga.

Premis berkenaan kini menjadi kegilaan lelaki, termasuk golongan profesional yang mendambakan layanan istimewa GRO persis model itu.

Seorang penjual kalungan bunga berkata, model yang diberikan kalungan bunga oleh pelanggan perlu sentiasa berada di sisi mereka dan melayan dengan baik.

“Di sini tujuannya adalah untuk melayan pelanggan, jika pelanggan bernasib baik mereka boleh membawa pulang model berkenaan untuk melakukan seks.

“Mereka (GRO) beroleh 92 peratus daripada harga kalungan bunga berkenaan. Malah, pendapatan bulanan GRO itu mencecah RM10,000 sebulan,” katanya.

Difahamkan, ada antara premis yang berada di bangunan sama itu turut menyediakan wanita dari Russia sebagai GRO.

Lelaki penjual kalungan bunga itu berkata, dia dapat menjual kira-kira RM5,000 bunga sehari bergantung kepada kehadiran pelanggan.

“Bukan saya saja yang menjual bunga di sini, tetapi terdapat tiga lagi pekerja yang menjual kalungan bunga.

“Kedai (premis) buka pada jam 9.30 malam dan biasanya akan habis (tamat) pada jam 4 pagi,” katanya.

Katanya, sehingga kini premis berkenaan tidak pernah diserbu mana-mana pihak berkuasa.

“Abang jangan risau, sini ada bouncer (penjaga), ramai datang sini untuk berhibur.

“Sejak dua tahun beroperasi tak pernah diserbu lagi, sebab bukan premis kami saja, ada empat lagi premis di belakang juga sama,” katanya.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.