Ahad, 10 Mac 2019

Graduan India paling teruk didiskriminasi dalam permohonan kerja

KEADILAN DAILY

pekerja-kilang1


Lepasan universiti berbangsa India paling teruk didiskriminasikan dalam permohonan kerja di sektor swasta, demikian dapatan firma kajian sains sosial dan tingkah laku The Centre for Governance and Political Studies (Cent-GPS).

Cent-GPS melakukan ujian tersebut dengan memohon lebih 500 peluang pekerjaan menggunakan sampel ringkasan pendidikan (resume) pemohon dengan etnik yang berbeza.

“Kavitha Munusamy”, seorang wanita India memohon sebanyak 547 kekosongan pekerjaan namun hanya menerima 49 panggilan temuduga.

Sementara, “Thivakar Gunasegaran” seorang lelaki India pula memohon 547 kekosongan pekerjaan yang sama namun hanya menerima 20 panggilan temuduga.

Graduan Melayu, “Zulaikha” dan “Sadiq” masing-masing menerima 70 dan 43 panggilan temuduga sementara graduan Cina iaitu “Nicola Yeoh” dan “Gabriel Liew” masing-masing menerima 240 dan 179 panggilan temuduga.

“Kajian ini memaparkan secara jelas diskriminasi yang berlaku di sektor swasta. Walaupun setiap graduan memiliki kelayakan, taraf pendidikan dan pengalaman yang sama, etnik dan warna kulit tetap memainkan peranan yang penting dalam mendapat peluang pekerjaan.

“Implikasi perkara ini sangat membimbangkan, terutamanya masa depan belia di Malaysia.

“Jika hal ini berterusan tanpa penyelesaian, lebih ramai golongan yang akan terpinggir hanya kerana warna kulit,” kenyataan media Cent-GPS dipetik.

Cent-GPS menghantar 3,829 permohonan pekerjaan kepada lebih 500 peluang pekerjaan dalam kajian ‘Racism in Recruitment: A Study on Racial Bias for Entry Level Jobs in Malaysia’.

Bagi setiap permohonan, Cent-GPS menghantar tujuh resume berlainan tetapi setaraf daripada segi kelayakan.

Setiap resume tersebut mewakili jantina dan kumpulan etnik yang berbeza namun semua calon boleh berbahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.